PRN Johor: Undi18 cabaran besar Pakatan pertahan kerusi


Chan Kok Leong

Penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 kini berkuat kuasa bersama dengan pendaftaran pemilih automatik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Februari, 2022.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac depan akan menyaksikan penambahan 748,955 pengundi baharu, kebanyakannya di kawasan bandar, di mana ia dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Semua 10 kerusi teratas dengan jumlah pengundi tambahan terbanyak dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan kerusi ini kini mempunyai penambahan pengundi baharu antara 30% dan lebih 60%.

Secara keseluruhan, pengundi baharu melonjak 41% daripada daftar pemilih 2018, sekali gus meningkatkan jumlah pengundi di Johor kepada 2.56 juta.

Peningkatan ini hadir dengan pelaksanaan Undi18 oleh kerajaan seperti yang diperintahkan mahkamah.

Penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 kini berkuat kuasa bersama dengan pendaftaran pemilih automatik.

Data daftar pemilih disertakan bersama pengundi baharu, yang diberikan kepada The Malaysian Insight oleh DAP, menunjukkan kebanyakan kenaikan adalah di kawasan bandar di bawah Parlimen “Greater Johor Baru” iaitu Tebrau, Pasir Gudang, Johor Baru, Pulai dan Iskandar Puteri.

Kawasan “Greater JB”, yang menikmati banyak pembangunan di negeri ini, juga merupakan tempat kebanyakan aktiviti pembuatan berpusat.

Dalam lima kerusi Parlimen “Greater JB” ini, terdapat lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) teratas yang mempunyai jumlah pengundi baharu tertinggi.

Kerusi itu ialah Puteri Wangsa (46,358 pengundi baharu), Tiram (41,326), Kota Iskandar (44,132) Perling (37136) dan Permas (36,534).

Puteri Wangsa dan Tiram berada di bawah kawasan Parlimen Tebrau manakala Kota Iskandar di bawah Iskandar Puteri. Perling di bawah Pulai manakala Permas bawah Pasir Gudang.

Lima kerusi DUN ini kini akan mempunyai lebih 100,000 pengundi setiap satu (rujuk grafik).

Kota Iskandar mendahului dengan 111,503 pengundi diikuti Puteri Wangsa, Skudai, Tiram dan Perling.

Hanya Permas (99,627) dan Johor Jaya (90,422) yang kurang daripada 100,000 pengundi.

Sebaliknya, kawasan kurang membangun di Johor mempunyai pertambahan sedikit pengundi baharu dengan terendah dicatatkan di DUN Bukit Naning (4,608 pengundi baharu). Ini diikuti Tenang (4,645), Paloh (4,953), Rengit (5,183) dan Semarang (5,695).

Lazimnya PH bernasib baik di kawasan bandar dan menang dengan majoriti tinggi di beberapa kerusi yang kini mempunyai kemasukan pengundi baharu secara besar-besaran.

Ini menjadikan PRN Johor pada 12 Mac depan sebagai cabaran yang tidak dapat diramalkan bagi pakatan pembangkang yang menawan negeri itu daripada Barisan Nasional buat kali pertama pada 2018. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen