Aktiviti makan Tahun Baharu Cina cetus kluster Covid di Sarawak


Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, pergaulan sosial serta aktiviti makan di Tahun Baharu Cina lepas menjadi pencetus kepada kluster Covid-19 di Kampung Semeba, Kuching, di negeri ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2022.

PERGAULAN sosial serta makan bersama semasa sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari lepas menjadi pencetus kepada satu kluster baharu Covid-19 di Sarawak.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini, Kluster Kampung Semeba iaitu satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah kediaman persendirian terletak di Kampung Semeba, Kuching.

“Kes indeks kepada kluster itu telah dikesan melalui saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan pada 5 Februari lepas.

“Kes indeks juga mempunyai sejarah pulang dari Kuala Lumpur pada 31 Januari 2022. Jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan sosial dan sejarah makan bersama semasa sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari 2022,” katanya.

Seramai 139 individu telah disaring dalam kluster tersebut dan 17 didapati positif termasuk kes indeks dan 122 yang lain negatif.

Selain itu, kes baharu harian Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 184 kes hari ini berbanding 129 semalam. – Bernama, 9 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen