PARA pembeli menyerbu pasar Hong Kong berikutan kebimbangan kekurangan makanan pada Rabu, pemandangan biasa di bandar yang kembali di bawah sekatan Covid.
Hong Kong mengikuti jejak China mengekalkan dasar sifar Covid ketat yang telah mengekalkan jangkitan rendah melalui sekatan bersasar dan langkah penjarakkan sosial meluas.
Pada Selasa, bandar itu merekodkan 625 jangkitan baharu, satu rekod harian namun jumlah itu berkurangan berbanding dengan jangkitan di seluruh dunia.
Peningkatan kes yang didorong oleh Omicron telah membimbangkan pihak berkuasa malah pemimpin Carrie Lam telah mengumumkan sekatan baharu terhadap 7.5 juta penduduk hab kewangan itu.
Adegan kebimbangan ini mengingatkan awal 2020, apabila koronavirus pertama kali muncul di China, ci mana warga Hong Kong minggu ini berebut-rebut untuk mendapatkan stok apabila panik disebabkan kejutan bekalan makanan.
“Rasanya kerajaan tidak bersedia langsung, dan kami rakyat biasa sahaja yang jaga diri kami sendiri,” kata seorang wanita bernama Siu, 42, kepada AFP pada Rabu.
Dia antara ramai pembeli pagi yang bimbang dengan bekalan hasil segar, yang kebanyakannya diimport dari tanah besar China.
Minggu ini seorang pemandu trak rentas sempadan diuji positif Covid, mendorong sekatan sementara trak penghantaran.
Bekalan sayur-sayuran Hong Kong sejak itu berkurangan kira-kira satu pertiga, kata kerajaan.
Kekurangan itu menyebabkan harga di pasar basah Hong Kong melonjak dengan rak di pasar raya mula kosong.
“Saya tidak sangka sayur semahal ini,” kata Siu menambah bil hariannya meningkat dua kali ganda minggu ini.
Seorang pemilik gerai sayur memberitahu AFP bekalannya, yang kurang awal minggu, telah pulih buat masa ini.
“Semoga keadaan boleh kembali normal. Sya tidak tahu berapa lama kita boleh bertahan seperti ini,” katanya. – AFP, 9 Februari, 2022.
Komen