KES Covid-19 meningkat kepada 83,071 selepas Malaysia melaporkan lebih 10,000 jangkitan untuk hari ketiga berturut-turut, menurut Kementerian Kesihatan.
Semalam terdapat 13,944 kes berbanding 5,421 kes pulih.
Bilangan kes aktif meningkat sejak beberapa minggu lalu apabila jangkitan baharu melebihi jumlah kes pulih, yang dikaitkan oleh pihak berkuasa kesihatan kepada varian Omicron yang lebih mudah menular.
Daripada 13,944 kes jangkitan baharu, 1,253 dimasukkan ke hospital.
Kemasukan hospital pada purata tujuh hari juga meningkat daripada melaporkan kurang daripada seribu kes setiap hari selama dua bulan, sehingga 6 Februari.
Laman web CovidNow kementerian menunjukkan kadar penggunaan hospital di seluruh negara meningkat kepada 70% daripada 64.5% sehari sebelumnya, dengan pesakit Covid terdiri daripada 45.7%.

Penggunaan alat bantuan pernafasan, bagaimanapun menurun daripada 33.8% kepada 33%.
Kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat daripada 50.7%, kepada 52.1% dengan pesakit Covid menyumbang 16.3%.
Kedah mempunyai kadar penggunaan tertinggi iaitu 80.7%.
Sementara itu, daripada 13,944 jangkitan baharu yang dilaporkan semalam, Lembah Klang merekodkan 4,194 kes.
Selangor melaporkan 3,031 kes, Kuala Lumpur 1,022 dan Putrajaya 141.
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (1,680), Kedah (1,463), Kelantan (1,105), Melaka (387), Negeri Sembilan (394), Pahang (696), Perak (352), Perlis (133), Pulau Pinang (1,023), Sabah (2,069), Sarawak (129), Terengganu (290) dan Labuan (29).
Malaysia mencatatkan 13 kematian Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kematian di negara ini sejak bermulanya wabak itu kepada 32,056.
Di antara sembilan kematian Covid, tiga diisytiharkan sebagai kematian luar hospital. Semua kematian adalah kes tertunggak.
Selangor melaporkan tiga kematian, diikuti Kelantan (2), Perak (2), Sabah (2), Kedah (1), Pulau Pinang (1), Melaka (1) dan Kuala Lumpur (1). – 9 Februari, 2022.
Komen