PENGUNDI muda akan jadi penentu politik Malaysia dan mencorakkan masa depan negara, kata Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kumpulan pengundi berumur antara 18 hingga 21 tahun, yang dijangka akan mengundi untuk pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak terikat dengan parti politik sebaliknya lebih mengutamakan dasar dan kemampuan kerajaan, katanya.
“Mereka boleh mengundi Muda hari ini tetapi jika kita kecewakan mereka, mereka akan undi parti lain, dan begitulah seterusnya pada pilihan raya berikutnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Bukannya mereka berubah-ubah fikiran tetapi kerana mereka tahu apa yang mereka mahu dan bagaimana hendak memajukan Malaysia.”
Jelas Syed Saddiq, pengundi muda lebih canggih pemikirannya dan kesetiaan mereka kepada negara lebih tebal berbanding kepada parti.
“Itu sebabnya Muda mesti bekerja lebih keras untuk memenangi undi mereka kerana pada akhirnya merekalah penentu kuasa sebenar politik Malaysia.
“Mereka akan menentukan bukan saja masa sekarang tetapi masa depan negara,’ kata bekas timbalan menteri itu, yang juga ahli Parlimen Muar.
Syed Saddiq mengingatkan pemimpin Muda supaya tidak meremehkan pengundi baharu dan muda pada PRN Johor.
Lebih kurang 700,000 pengundi baharu dijangka akan layak mengundi susulan pindaan undang-undang yang menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik pengundi. – 9 Februari, 2022.
Komen