UMNO membuat “langkah terancang” untuk meraih keuntungan politik apabila mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di tengah gelombang penularan Covid-19 varian Omicron dan selepas cuti perayaan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa Umno mahu tidak ramai pengundi yang keluar mengundi untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang.
Pada PRN Melaka November lepas, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi untuk mendapat mandat sah daripada rakyat selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14, Mei 2018.
PRN Melaka yang dilangsungkan dengan peraturan pencegahan Covid-19 yang ketat merekodkan penglibatan 65.8% pengundi berbanding 84.52% pada PRU14.
“Umno hendak pengundi duduk di rumah. Umno mahu pengundi terutamanya kaum Cina dan India untuk tidak keluar mengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Mereka (Umno) sudah tengok apa yang jadi di Melaka dan mereka tidak mahu rakyat Johor di Singapura balik dan mengundi.
“Apa sebab lagi mereka hendak adakan pilihan raya pada Mac ketika ada gelombang Omicron dan betul-betul selepas masyarakat Cina balik kampung. Mereka sudah pulang bekerja dan tidak akan balik semula.
“Ini langkah terancang, yang saya rasa sangat tidak bertanggungjawab,” tambahnya.
Jelas Syed Saddiq, jumlah pengundi yang rendah kunci kemenangan BN.
Dalam keadaan itu, tanggapannya ialah hanya pekerja parti dan penyokong tegar yang akan keluar mengundi sementara yang lain, yang dipercayai hilang percaya pada politik, tidak akan keluar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat hari ini untuk menetapkan tarikh-tarikh proses pilihan raya, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubaran dewan negeri pada 22 Januari.
Alasan saja Johor tidak stabil
Menurut Syed Saddiq, keadaan politik yang tidak stabil yang dijadikan alasan untuk mengadakan pilihan raya ini hanya alasan semata-mata.
Katanya, kerajaan Johor sebelum ini masih stabil tetapi Umno yang sebenarnya gila kuasa.
“Mereka kata mahukan kestabilan. Kerajaan Johor stabil.
“Kemudian mereka kata hanya ada kelebihan satu atau dua kerusi. Begitulah keadaannya sejak dua tahun lalu. Pembangkang tidak ganggu pun,” katanya.
Isu dalaman Umno
Sementara, Syed Saddiq juga berkata PRN Johor diadakan lebih awal kerana masalah puak dalam Umno, merujuk pada kelompok yang dikatakan mahu menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat lebih mesra kepada Bersatu.
“Hanya sebab mereka mahu menekan Ismail Sabri dan dapat lebih banyak kerusi, mereka bubarkan kerajaan negeri di tengah gelombang Omicron dan usaha bantuan pasca banjir.
“Bertanggungjawabkah begitu?” katanya.
Beliau menyifatkan Umno hipokrit apabila prihatin dengan penularan Covid-19 yang meningkat tetapi pada masa sama mahu pilihan raya negeri diadakan sekarang.
Syed Saddiq menegaskan pembangkang mesti menang PRN Johor atau berdepan kemungkinan akan ada lagi pilihan raya negeri lebih awal, antaranya Perak dan Kedah yang juga berdiri dengan majoriti kecil.
BN menerajui kerajaan Perak sementara PN mentadbir di Kedah.
“Ini masanya kita lawan semula dan Muda akan menentang habis-habisan Umno yang semakin bongkak.
“Kalau kalah di Johor, kita bukan akan berdepan dengan pilihan raya umum tetapi terlebih dahulu PRN Perak, Kedah dan kemungkinan Sabah sekali lagi, kemudian barulah PRU,” katanya.
Cakap-cakap mengenai PRN Perak, Kedah dan Sabah bagaimanapun dinafikan oleh pimpinan negeri berkenaan.
Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir 15 Julai 2023, sementara Sabah yang mengadakan PRN September 2020 kekal sehingga 2025. – 9 Februari, 2022.
Komen