Kes kemalangan sepanjang Tahun Baharu Cina menurun 26%, kata KPN


Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata jumlah kemalangan maut yang dilaporkan menurun 19 peratus kepada 108 kes tahun ini daripada 133 kes pada tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2022.

KES kemalangan jalan raya yang direkodkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat bersempena Tahun Baharu Cina tahun ini menurun sebanyak 26 peratus kepada 11,325 kes berbanding 15,382 kes pada tahun lepas.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata sepanjang Op Selamat yang bermula pada 28 Januari hingga Sabtu lepas, jumlah kemalangan maut yang dilaporkan juga menurun 19 peratus kepada 108 kes daripada 133 kes pada tahun lepas. 

“Angka kematian direkodkan adalah 119 kes berbanding 149 kes tahun sebelumnya, penurunan sebanyak 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata penunggang dan pembonceng motosikal terus menjadi penyumbang utama kes kematian dengan merekodkan 82 kematian.

“Bagaimanapun, angka berkenaan menurun 15 peratus berbanding 97 kematian pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata dalam Op Selamat kali ini juga 351 individu telah ditahan menerusi Op Samseng Jalanan  dengan 37 daripada mereka didapati positif dadah.

“Seramai 204 individu pula ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan disiasat di bawah Seksyen 45A Akta  Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, 308,726 saman dikeluarkan iaitu meningkat 14 peratus berbanding tahun lepas, manakala 326 kes pecah rumah dicatatkan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat dalam operasi  dan  pengguna jalan raya yang mematuhi peraturan dalam Op Selamat kali ini yang disifatkannya sebagai berjaya. – Bernama, 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen