PICKids buat ibu bapa rasa selamat hantar anak ke sekolah


Aminah Farid

Amalan SOP yang baik di sekolah membantu mencegah penularan Covid-19 sekali gus meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2022.

BERIKUTAN pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan remaja, ibu bapa dan kumpulan prihatin berasa lebih selamat menghantar anak ke sekolah walaupun kes Covid-19 sedang meningkat.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight keyakinan mereka diperkuatkan lagi dengan para pelajar dan murid diasingkan mengikut kumpulan bagi menjaga penjarakkan sosial di kelas.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata dengan vaksinasi untuk kanak-kanak sudah bermula, ia sepatutnya membawa perubahan dalam mengurangkan kluster sekolah.

“Sekolah perlu terus dibuka,” katanya menambah ia adalah pilihan ibu bapa untuk hantar anak-anak ke sekolah.

Sejak awal tahun ini Kementerian Kesihatan telah mengesan 52 kluster Covid-19 di pelbagai institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sikap leka dan kurang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengakibatkan peningkatan kes dalam kalangan pelajar khususnya di sekolah berasrama penuh.

Khaled Emdad, 31, pengurus pemasaran eksekutif dan ibu bapa dari Subang Jaya memberitahu The Malaysian Insight dia tidak akan menangguh untuk hantar anak-anaknya ke sekolah.

Bapa kepada empat anak itu berkata selepas dua tahun pandemik, sekolah sepatutnya sudah ada dan melaksanakan SOP serta garis panduan yang sesuai bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan.

“Covid-19 tidak akan hilang dalam masa terdekat.

“Jadi bila kita cakap: ‘Ok cukuplah! Kami belajar untuk hidup bersama virus!’” katanya.

“Buat masa ini, saya masih akan hantar anak-anak saya ke sekolah tetapi akan minta ibu bapa dan guru lebih berhati-hati terutama ibu bapa.

“Jika anak anda ada simptom, sila duduk di rumah dan jangan risikokan orang lain,” kata Khaled.

Khairy berkata Putrajaya akan menyemak semula SOP Covid-19 di sekolah berikutan peningkatan jumlah kluster pendidikan.

Beliau berkata setakat ini tiada kes kategori 4 dan 5 dikesan di sekolah.

“Kita minta penilaian risiko dibuat di sekolah. Pengajaran dan pembelajaran hibrid boleh dilaksanakan tetapi hanya untuk kelas terjejas, bukan seluruh sekolah,” katanya.

Beliau berkata sebarang penutupan sekolah akan menjejaskan pendidikan dan kesejahteraan pelajar.

Intan Shafinaz, 27, pengurus telemarketer dan ibu kepada tiga anak dari Subang Jaya, berkata walaupun dia tidak bimbang untuk hantar anak-anaknya ke sekolah, dia tidak ada pilihan lain kerana bekerja malah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) kerajaan tidak banyak membantu anak-anaknya.

“Jadi saya lebih suka mereka pergi sekolah dan memandangkan anak-anak saya kini telah menerima dos pertama mereka, saya rasa agak lega,” katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) telah bermula pada 6 Februari.

Kementerian Kesihatan mengumumkan 517,107 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telah didaftarkan untuk suntikan.

Dianggarkan empat juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun layak menerima vaksin.

PICKids dijalankan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan ke atas kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

Grace Sun, suri rumah dengan dua anak dari Petaling Jaya berkata selepas kerajaan mengasingkan pelajar kepada kumpulan A dan B, dia berasa lebih selamat untuk hantar anak-anaknya ke sekolah.

“Saya rasa selamat apabila hantar mereka ke sekolah kerana tidak ramai,” katanya.

Vanshika, ibu kepada dua anak, bagaimanapun berkata, anaknya telah bersekolah sejak 3 Januari lalu kerana sekolahnya mengamalkan SOP yang baik.

“Namun, sejak cuti Tahun Baharu Cina dan kes meningkat, ia jadi sangat menakutkan jadi saya pilih supaya anak saya buat kelas dalam talian,” kata penduduk Puchong itu.

“Keselamatan dia jadi keutamaan,” katanya.

Pada Januari lalu, Khairy berkata hampir 580,000 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah telah dijangkiti Covid-19 sejak pandemik melanda.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 269,773 melibatkan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun.

Sementara itu dalam tempoh enam bulan lepas, 147,282 kes Covid-19 dilaporkan membabitkan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang tidak divaksin, di mana 26 daripadanya telah meninggal dunia.

Minggu lepas sahaja, 3,557 kanak-kanak telah dijangkiti virus itu, dan ini merupakan 9.9 peratus daripada jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan dalam tempoh tersebut.

Malaysia semalam merekodkan 13,944 jangkitan baharu dengan majoriti kes melibatkan varian Omicron yang kebanyakannya dalam kategori tidak teruk. – 9 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen