Kerajaan mansuh SOP imbas suhu, buku rekod masuk mulai 11 Februari


Alfian Z.M. Tahir

Menteri kanan Hishammuddin Hussein hari ini berkata Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 telah bersetuju memansuhkan penggunaan pengimbas suhu dan buku rekod untuk masuk ke premis berkuat kuasa 11 Februari ini. – Gambar tangkap layar Facebook Hishammuddin Hussein, 8 Februari, 2022.

MESYUARAT Kuartet Menteri Covid-19 telah bersetuju memansuhkan penggunaan pengimbas suhu badan dan buku rekod masuk ke mana-mana premis bermula 11 Februari, kata pengerusinya Hishammuddin Hussein.

Menteri Kanan Pertahanan bagaimanapun berkata kerajaan mengalu-alukan sekiranya pemilik premis masih ingin merekodkan butiran pelanggan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) mereka.

“Mengambil kira pandangan dari Kementerian Kesihatan, mesyuarat kuartet hari ini turut menetapkan bahawa SOP pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuuk akan dimansuhkan bermula 11 Februari.”

“Dengan pemansuhan ini pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod daftar masuk di pintu-pintu masuk premis masing-masing, namun daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pemeriksaan suhu menjadi sebahagian daripada SOP sejak permulaan pandemik Covid-19.

Buku rekod masuk di premis, di mana orang ramai dikehendaki menulis nama dan bacaan suhu juga diperkenalkan semasa permulaan pandemik. – 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen