Saintis China hasilkan ujian Covid-19 tepat dan pantas


Para saintis China yang membangunkan ujian baharu Covid-19 berkata sensor mikroelektronik digunakan untuk menganalisis bahan genetik daripada calitan sekali gus boleh mengurangkan keperluan untuk mendapatkan ujian makmal Covid jenis PCR yang memakan masa. – Gambar EPA, 8 Februari, 2022.

SAINTIS China mendakwa telah membangunkan ujian coronavirus baharu yang tepat seperti ujian PCR malah dapat beri keputusan sepantas empat minit.

Ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) secara meluas dianggap paling tepat dan sensitif mengesan virus yang menyebabkan Covid-19, tetapi biasanya mengambil masa beberapa jam.

Sesetengah negara telah berhadapan kes tertunggak berikutan menghadapi permintaan ujian yang tinggi, didorong oleh penyebaran varian Omicron yang sangat mudah ditularkan.

Penyelidik dari Universiti Fudan di Shanghai berkata mereka mempunyai penyelesaian.

Dalam artikel yang diterbitkan pada Isnin dalam jurnal Nature Biomedical Engineering, pasukan itu berkata sensor mereka yang menggunakan mikroelektronik untuk menganalisis bahan genetik daripada calitan boleh mengurangkan keperluan untuk ujian makmal Covid yang memakan masa.

“Kami melaksanakan biosensor elektromekanikal untuk pengesanan SARS-CoV-2 ke dalam peranti prototaip bersepadu dan mudah alih, dan menunjukkan ia mengesan (RNA virus) dalam masa kurang daripada empat minit,” kata pasukan itu dalam artikel itu.

Para penyelidik berkata kaedah mereka menawarkan kelajuan, kemudahan operasi, sensitiviti tinggi dan mudah alih.

Percubaan mereka melibatkan pengambilan sampel daripada 33 orang di Shanghai yang dijangkiti koronavirus, dengan ujian PCR dijalankan secara selari.

Keputusan daripada kaedah mereka adalah sepadan dengan ujian PCR, menurut artikel itu.

Kajian mereka melibatkan ujian baharu pada 54 sampel, termasuk orang yang demam yang tidak mempunyai koronavirus, penghidap influenza, dan sukarelawan yang sihat.

Kes-kes itu tidak menghasilkan sebarang kes positif palsu, kata pasukan itu.

Para penyelidik Fudan berkata sebaik sahaja dibangunkan, peranti ujian mereka boleh digunakan untuk ujian pantas dalam pelbagai situasi, termasuk lapangan terbang, kemudahan kesihatan dan “di rumah”.

Ujian PCR bukan sahaja perlahan, tetapi juga memerlukan infrastruktur makmal yang terhad, sekali gus mengurangkan jumlah kes yang boleh dikendalikan setiap hari. – AFP, 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen