Kes aktif Covid-19 lepasi 70,000 


KES aktif Covid-19 meningkat kepada 74,561 selepas Malaysia melaporkan lebih 10,000 jangkitan untuk hari kedua berturut-turut, lapor Kementerian Kesihatan.

Semalam terdapat 11,034 kes berbanding 6,036 kes pulih.

Bilangan kes aktif meningkat sejak beberapa minggu lalu berikutan kes jangkitan baharu melebihi jumlah yang pulih.

Daripada 11,034 kes baharu, 1,253 dimasukkan ke hospital.

Laman web CovidNow kementerian menunjukkan bahawa kadar penggunaan katil hospital di seluruh negara meningkat kepada 67.3% daripada 64.5% sehari sebelumnya, dengan pesakit Covid menyumbang 41.8%.

Sementara itu, penggunaan ventilator meningkat daripada 33% kepada 33.8%.

Bagaimanapun, pesakit di unit rawatan rapi (ICU) merosot daripada 52.6% kepada 50.7%, dengan 16% daripadanya adalah pesakit Covid.

Kedah merekodkan kadar penggunaan tertinggi iaitu 81.4%.

Kemasukan hospital menunjukkan tahap keterukan virus, manakala penggunaan hospital termasuk penggunaan katil, serta bilangan pesakit di ICU dan ventilator.

Johor mencatatkan jumlah pesakit baharu paling ramai iaitu 316, diikuti Selangor (252) dan Sabah (158).

Kemasukan wad di Selangor menjadikan jumlah kemasukan ke hospital di Lembah Klang kepada 312, manakala Kuala Lumpur menyumbang 39 dan Putrajaya, 21.

Negeri lain yang turut merekodkan kemasukan baharu adalah Kedah (59), Kelantan (83), Melaka (34), Negeri Sembilan (50), Pahang (49), Perak (69), Perlis (11), Pulau Pinang (24), Sarawak (64) dan Terengganu (24).

Sementara itu, daripada 11,034 jangkitan baharu yang dilaporkan, Lembah Klang menyumbang 2,896 kes.

Selangor melaporkan 2,411 kes, Kuala Lumpur 380 dan Putrajaya 105.

Negeri dan wilayah lain yang turut melaporkan kes baharu ialah Johor (1,369), Kedah (1,448), Kelantan (666), Melaka (496), Negeri Sembilan (368), Pahang (581), Perak (412), Perlis (98), Pulau Pinang (693), Sabah (1,600), Sarawak (84), Terengganu (312) dan Labuan (11).

Malaysia mencatatkan sembilan kematian Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kematian di negara ini sejak bermulanya wabak itu kepada 32,043.

Di antara sembilan kematian Covid, dua diisytiharkan sebagfai kematian luar hospital. Semua kematian adalah kes tertunggak.

Empat daripada kes kematian dilaporkan di Perak dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. – 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen