Warisan lapor SPRM siasat Perjanjian NCA


Warisan hari ini membuat laporan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA). – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2022.

PARTI Warisan (Warisan) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA).

Laporan itu dibuat Setiausaha Agungnya Loretto Padua Jr petang ini di pejabat SPRM Kota Kinabalu mengenai perjanjian NCA antara Kerajaan Sabah dan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.

Loretto berkata laporan yang dibuatnya bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat atas kesedaran seorang rakyat Malaysia yang mahu kedaulatan negara ini dilindungi.

“Proses ini berjalan selama dua jam yang mana rekod dan keterangan saya telah diambil, saya juga diarah untuk tidak memberitahu secara terperinci berkenaan laporan saya namun secara am laporan ini berkenaan NCA,” katanya kepada pemberita hari ini.

NCA adalah sebuah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon iaitu satu sistem berasaskan pasaran bagi mengurangkan kesan gas rumah hijau terutama karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memberikan insentif dari segi kewangan. 

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata NCA itu tidak melibatkan penjualan atau cagaran tanah hutan seperti didakwa pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun sebelum ini, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mendakwa perjanjian NCA selama 100 tahun itu menyebabkan dua juta hektar hutan di Sabah ‘diserahkan’ kepada syarikat tersebut. – Bernama, 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen