MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memberi jaminan kepada rakyat Malaysia walaupun kes Covid-19 meningkat, keadaan masih terkawal kerana majoriti jangkitan adalah dalam kategori tidak teruk.
Beliau berkata ini susulan kadar vaksinasi yang terbukti berkesan terhadap varian Omicron dan memastikan jangkitan di bawah kategori kurang teruk.
Malaysia hari ini merekodkan lebih 11,000 jangkitan baharu. Kali terakhir negara mencatatkan lebih 11,000 kes adalah pada 1 Oktober, dengan 11,889 kes dicatatkan.
Khairy berkata walaupun jangkitan kebanyakannya adalah kes Omicron, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil langkah proaktif seperti memperkenalkan semula pasukan petugas pantas untuk memantau keadaan jika kemasukan ke hospital meningkat.
Beliau juga berkata pesakit dari Kategori 1 dan 2 akan dihantar ke pusat kuarantin (PKRC) kerana varian Omicron sangat mudah berjangkit.
Khairy berkata individu positif Covid-19 dalam kategori 2B (gejala ringan dan ke atas) dikehendaki ke CAC atau hospital terdekat untuk pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon dari klinik daerah mereka.
Beliau berkata ini termasuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas, mempunyai komorbiditi, alami simptom yang semakin teruk, dan tidak mengambil vaksin atau tidak lengkap vaksin.
Negara mencatatkan paras tertinggi baharu dalam kes harian Covid-19 hari ini dengan 11,034 jangkitan baharu.
Khairy turut mengingatkan warga emas berumur 60 tahun serta penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas supaya mendapatkan vaksin penggalak sebelum 1 Mac untuk mengekalkan status vaksin lengkap di MySejahtera.
Beliau berkata jika kumpulan ini tidak mendapat penggalak sebelum 1 Mac, status vaksin MySejahtera mereka tidak akan ditunjukkan sebagai vaksin lengkap walaupun sudah menerima dua suntikan vaksin.
“Risiko jangkitan di kalangan warga emas lebih tinggi dengan Omicron dan sehingga hari ini, kurang 32% masih belum mendapat suntikan penggalak mereka,” katanya.
Sebelum ini, KKM turut memberi amaran keberkesanan vaksin Sinovac berkurangan lebih cepat berbanding Pfizer dan Astrazeneca.
Pada masa ini, sejumlah 12.36 juta individu, atau 52.8% orang dewasa di negara ini, menerima penggalak Covid-19 setakat semalam. – 7 Februari, 2022.
Komen