Australia buka semula sempadan kepada pelancong 21 Februari


Australia akan membuka semula sempadannya kepada pelancong luar bermula 21 Februari tahun ini. – Gambar EPA, 7 Februari, 2022.

AUSTRALIA akan membuka semula sempadannya kepada pelancong mulai 21 Februari, umum Perdana Menteri Scott Morrison pada Isnin, menamatkan beberapa sekatan perjalanan pandemik yang paling ketat dan paling lama di dunia.

“Sudah hampir dua tahun sejak kami mengambil keputusan menutup sempadan ke Australia,” kata Morrison selepas mesyuarat Kabinet keselamatan negara.

Beliau mengumumkan sempadan akan dibuka semula kepada semua pemegang visa pada 21 Februari tahun ini, sambil menambah, “jika anda divaksin dua kali, kami berharap dapat mengalu-alukan anda kembali ke Australia.”

Sempadan Australia ditutup pada Mac 2020 dengan harapan dapat melindungi benua pulau itu daripada wabak global yang semakin meningkat.

Sepanjang tempoh itu, warga Australia dilarang keluar dan hanya segelintir pelawat diberikan pengecualian untuk masuk.

Peraturan itu menyebabkan rakyat terkandas di luar negara, memisahkan keluarga, memusnahkan industri pelancongan berbilion dolar negara itu, dan sering menimbulkan perdebatan sengit mengenai status Australia sebagai negara moden, terbuka dan berpandangan jauh.

Beberapa bulan penutupan sempadan kebelakangan ini, menyebabkan perniagaan kerugian sebanyak AS$2.6 bilion, menurut Dewan Perniagaan dan Industri Australia.

Namun, ia dilonggarkan secara beransur-ansur untuk warga Australia, penetap jangka panjang dan pelajar.

Keputusan terkini akan menyaksikan hampir semua sekatan yang tinggal ditarik balik.

Ia berlaku selepas dasar “Covid-sifar” lama negara itu ditarik, kadar vaksinasi meningkat dan sistem pengesan yang efisien suatu masa dahulu gagal dengan kedatangan gelombang kes Omicron.

Hanya segelintir negara masih ditutup kepada pelancong—antaranya Jepun, China, New Zealand dan beberapa negara Pulau Pasifik.

Bagi sektor pelancongan Australia, yang bergelut apabila bilangan pelawat menurun hampir 98% berbanding tahap sebelum pandemik, berita itu membawa kegembiraan.

“Kami sangat teruja kerana dapat dibuka semula,” kata Tony Walker, pengarah urusan Kumpulan Quicksilver, yang mengendalikan pelayaran, menyelam dan pusat peranginan merentasi Great Barrier Reef.

“Beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar bagi kami,” katanya kepada AFP, menggesa penduduk luar negara datang melawat.

Semasa pandemik, firma itu mengurangkan daripada 650 kepada 300 pekerja. Walaupun pengumuman itu, perjalanan dalam Australia masih dihadkan.

Negeri Australia Barat kekal ditutup kepada kebanyakan bukan pemastautin. 

Pada masa ini lebih mudah melakukan perjalanan dari Sydney ke Paris berbanding Sydney ke Perth. – AFP, 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen