Warga emas jual nasi lemak hantar anak ke universiti


Nabihah Hamid Asila Jalil

Ramai golongan yang sudah berusia terpaksa memilih membuka gerai nasi lemak untuk menampung kehidupan dan membesarkan anak hingga ke universiti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Februari, 2018.

KETIKA umurnya hampir 40 tahun dan kehidupan terlalu sukar, Zakaria Ahmad berkata beliau membuat satu keputusan yang mengubah kehidupannya lebih 25 tahun lalu, iaitu bersara daripada pasukan tentera dan menjual nasi lemak untuk menampung hidup.

Zakaria, kini 67 tahun berkata, kehidupan sangat sukar tetapi beliau tidak pernah menyesalinya kerana ia satu-satunya cara yang mampu dilakukan untuk membesarkan lima anak dan menyekolahkan mereka ke hingga ke universiti.

“Saya nampak kami boleh peroleh pendapatan dengan menjual nasi lemak,” katanya, bercerita tentang keputusannya untuk membuka gerai bersama isterinya, Hasmah Kechik.

“Saya bersara ketika usia 39 tahun. Anak-anak sedang membesar. Boleh bayangkan berapa banyak wang saya perlukan untuk anak ke sekolah,” katanya yang berasal dari Johor tetapi menetap di Bangi, Selangor.

Menyedari tindakan untuk melepaskan pekerjaan tentera dengan gaji tetap untuk menjadi penjual nasi lemak adalah langkah berisiko tinggi, Zakaria berkata ia satu-satunya cara yang boleh dicuba untuk membesarkan anak kerana gajinya tidak mencukupi untuk menampung keluarga.

Selepas dua dekad menjual nasi lemak, Zakaria berkata semua susah payahnya berbaloi kerana semua anaknya dapat melanjutkan pelajaran.

Zakaria Ahmad dan isterinya, Hasmah Kechik berkata susah payahnya berbaloi kerana semua anaknya dapat melanjutkan pelajaran, menggunakan hasil menjual nasi lemak selama dua dekad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Februari, 2018.

“Saya bina rumah di kampung dan dapat menyimpan sedikit untuk menunaikan haji dengan apa yang saya dapat daripada jualan nasi lemak.

“Apa yang paling penting ialah tiga anak saya ada ijazah,” katanya.

Penjual nasi lemak di usia senja

Sementara Zakaria dan isterinya sudah tidak lagi menjual nasi lemak sejak lima tahun lalu, masih ada warga emas yang tidak begitu bernasib baik.

Noritah Kamis, 60, menjual nasi lemak setiap pagi sejak 20 tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia akibat sakit jantung.

Ibu tunggal lima anak itu berkata beliau membuka gerai nasi lemak dengan hasrat untuk membesarkan anaknya yang masih kecil ketika itu.

“Suami saya meninggal ketika anak masih kecil. Saya kemudian mula jual nasi lemak untuk besarkan mereka. Sekarang sudah 20 tahun.

“Saya bangun jam 3 pagi. Ia amat memenatkan dan masa dulu, semua anak saya masih bersekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sekarang, semua anaknya sudah besar dan tiga daripadanya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Namun, bagi Noritah, beliau masih terus terpaksa menjual nasi lemak.

Noritah Kamis bergambar bersama dua anak perempuannya ketika majlis konvokesyen anak bongsunya. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Februari, 2018.

Sementara mereka yang seusia dengannya dapat menikmati gaya hidup lebih tenang, Noritah berkata beliau masih terpaksa berniaga nasi lemak di Taman Melawati kerana anaknya tidak bekerja tetap.

“Untuk saya, kos hidup sangat tinggi. Saya terpaksa bayar bil elektrik dan air. Saya perlu bayar cukai,” katanya.

Awal tahun ini, dilaporkan harga makanan dan minyak dijangka kekal tinggi pada 2018, walaupun berlaku penurunan pada awal tahun, jika dibandingkan dengan harga 2017.

Ketika kos sara hidup di bandar kekal tinggi dan graduan muda berdepan kesukaran mendapat pekerjaan, ramai orang seperti Noritah terpaksa menangguhkan rancangan persaraan mereka kerana masih terpaksa bergelut untuk hidup.

“Saya masih perlu berniaga gerai kerana perlukan pendapatan,” kata Noritah.

“Anak-anak ada juga yang membantu saya tetapi mereka sendiri masing-masing ada komitmen.

“Sukar untuk mereka dapat kerja sekarang dan saya memahaminya.” – 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen