LIM Guan Eng mempersoalkan komitmen kerajaan untuk membendung virus Covid-19, mempersoalkan sama ada Putrajaya serius dalam menangani isu itu dengan peningkatan kes.
Setiausaha Agung DAP itu berkata sejak Disember tahun lalu, tiada sebarang perbincangan yang dimulakan oleh perdana menteri, yang mengetuai jawatankuasa pasukan petugas khas Covid-19, mengenai situasi Covid-19 di negara ini.
“Adakah mereka serius dalam menangani isu ini walaupun ramai yang mengatakan Omicron tidak berbahaya? Jika mereka serius, kenakan darurat tetapi bukan untuk tujuan politik.
“Saya kecewa. Kementerian perlu memberi penjelasan mengenai isu ini dan nampaknya mereka tidak serius. Sebagai ahli jawatankuasa pasukan petugas Covid-19 tidak ada mesyuarat atau perbincangan. Mulai Disember tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada majlis DAP di Kulai pagi ini, yang disiarkan secara langsung.
Lim ditanya sama ada jumlah kes baharu yang tinggi akan membantutkan kempen DAP pada pilihan raya negeri Johor akan datang.
Dalam perkembangan terbaharu, Malaysia merekodkan lebih 1,000 kemasukan ke hospital Covid untuk hari ketiga berturut-turut, dengan 1,150 kemasukan direkodkan semalam, lapor Kementerian Kesihatan.
Laman web CovidNow kementerian menunjukkan kadar penggunaan katil hospital di seluruh negara meningkat kepada 64.5% daripada 63.4% sehari sebelumnya, dengan pesakit Covid merekodkan 40.2% penggunaan.
Sementara itu, penggunaan ventilator meningkat daripada 32.7% kepada 33.%. Penghunian unit rawatan rapi (ICU) juga menyaksikan trend menaik, meningkat daripada 52% kepada 52.6% dengan pesakit Covid menyumbang 16.2% daripada penggunaannya.
Pada masa ini, Kedah merekodkan kadar penggunaan tertinggi iaitu 78.3%.
Kemasukan hospital menunjukkan tahap keterukan virus, manakala penggunaan hospital termasuk penggunaan katil, serta bilangan pesakit di ICU dan ventilator. – 7 Februari, 2022.
Komen