KOMBINASI berhadapan kehidupan yang mendesak akibat peningkatan kos sara hidup dan janji memperoleh wang dengan cepat serta mudah terbukti menjadi faktor utama bagi pelaburan skim cepat kaya sejak beberapa dekad lalu.
Skim pelaburan yang meragukan menjanjikan keuntungan lumayan sudah wujud di negara ini untuk jangka masa yang lama, tetapi sejauh mana seriusnya masalah ini kepada rakyat Malaysia didedahkan dengan kes melibatkan skim forex syarikat JJ Poor to Rich (JJPTR) yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Sebelum penahanan pengasas JJPTR yang berusia 28 tahun, Johnson Lee dan dua rakannya, banyak pelabur masih berkeras serta yakin mereka akan menerima pulangan yang dijanjikan walaupun selepas Lee mendakwa kehilangan RM1.7 bilion akibat serangan penggodam.
Kesetiaan dan kepercayaan terhadap Lee serta syarikatnya, yang diklasifikasikan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai sebuah syarikat pelaburan tidak sah, menimbulkan persoalan apa yang membuatkan syarikat seperti itu, mampu menarik pelabur walaupun risiko yang bakal diterima begitu jelas.
Personaliti disukai dan dipercayai
Walaupun JJPTR mempunyai lebih 400,000 pelabur dalam dan di luar Malaysia, polis berkata hanya terdapat 10 laporan polis dibuat terhadap syarikat itu selepas kerugian dan status haram syarikat itu didedahkan.
Seorang wakil cawangan syarikat itu berkata Lee mempunyai persona amat disukai, dan dilihat sebagai seorang yang rajin dan majikan yang “baik”.
Lee juga sangat mahir mendekati pelabur secara peribadi, mampu memberi aura yang kuat dan positif dalam semua seminarnya.
“Selain laporan yang dibuat polis sendiri untuk menyiasat kes itu, saya rasa mereka yang melaporkan mengenai JJPTR adalah pelabur baru, yang tidak tahu banyak tentang syarikat itu,” kata lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim.
Ramai percaya Lee akan memberitahu kebenaran tentang kejadian godaman komputer syarikat yang berlaku, penafiannya menghilangkan diri dan sebaliknya bertemu pelabur selepas kejadian itu sebagai bukti beliau boleh dipercayai.
Testimoni daripada pelabur yang menerima wang daripada skim ini juga membantu syarikat menarik pelabur baru.
“Apabila saya diberitahu mengenai JJPTR dan berapa tinggi kadar pulangan bulanan yang diterima, saya mendapati ia sangat menarik. Bagi saya, memperoleh wang tunai tambahan setiap bulan adalah satu perkara yang baik,” kata Raymond, pelabur dari Relau, Pulau Pinang.
“Sepupu saya yang mengesyorkan skim ini kepada saya, dia sudah menerima wangnya. Jadi, saya mengambil keputusan menyertai skim ini sendiri,” katanya.
Bapa kepada dua anak yang berusia dalam awal 40-an, memasukkan sejumlah AS$500 (RM2,200) beberapa bulan lalu. Beliau mendapat pulangan faedah bulanan untuk beberapa bulan pertama hingga JJPTR menghadapi masalah pada April.
“Saya tidak melabur banyak. Jadi, ia okay,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Desakan hidup mengatasi segala-galanya
Skim JJPTR membenarkan pelabur melabur daripada serendah AS$25 hingga AS$1,000 maksima untuk membolehkan mereka menerima pulangan bulanan sebanyak 20%. Difahamkan, mereka yang mengambil bahagian dalam skim ini pada peringkat awal menerima pulangan menguntungkan.
Sepupu Raymond, Simon berkata beliau melabur AS$1,000 hampir setahun lalu dan membuat keuntungan daripada pelaburannya dalam masa enam bulan.
“Apabila seseorang memberitahu anda, terdapat skim yang memberi anda pulangan bulanan 20%, anda akan berfikir untuk menyertainya.
“Anda akan berfikir tentang hal itu sekali lagi apabila mengetahui beberapa rakan anda juga yang melabur dan memperoleh wang.
“Kos sara hidup naik. Kita tahu kenaikan inflasi lebih cepat daripada gaji. Jadi mengapa tidak melabur sedikit?” Kata lelaki berusia lewat 30-an.
Ketua cawangan JJPTR Lim juga berkata, bukan semua pelabur syarikat itu kaya, tetapi mencuba sedaya upaya untuk terus bertahan dengan kenaikan kos sara hidup.
Indeks harga pengguna (IHP) bagi April terus lebih tinggi pada 4.4% berbanding tahun lalu.
“Bukan semuanya kaya. Ada pelabur kecil, orang biasa.
“Beberapa ratus ringgit tambahan sebulan sangat bermakna kepada keluarga mereka. Mereka boleh berbelanja lebih untuk keluarga,” katanya.
Tindakan undang-undang
Seorang lagi pelabur, yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, berkata ahli JJPTR kini bimbang BNM atau polis akan mensasarkan mereka.
“Orang takut. Terdapat beberapa orang yang membuat spekulasi BNM akan memeriksa dan membekukan akaun pelabur.
“Ada mesej seperti itu yang berlegar di kalangan ahli JJPTR dalam kumpulan chat mereka,” kata Tan kepada The Malaysian Insight Malaysia.
Sejak kisah JJPTR didedahkan, syarikat tempatan lain yang mempunyai skim pelaburan “dipersoalkan” juga diletakkan di bawah pemantauan, seperti skim forex Change Your Life dan Richway Global Venture, serta skim mata wang digital bitcoin BTC l-system.
Satu lagi syarikat pelaburan, MonSpace, juga mendapat perhatian selepas terdapat laporan polis di Kuala Lumpur dibuat 19 warga China yang mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit dengan syarikat itu.
Syarikat multi-level-marketing itu mendakwa menguruskan pelaburan di Asia-Pasifik dalam bidang teknologi, hartanah, telekomunikasi, sektor makanan dan minuman serta hiburan.
Pada Selasa, BNM berkata dua skim popular anak syarikat MBI Group International – MBI International Sdn Bhd dan Mface International Sdn Bhd – berada dalam senarai kewangan amaran pengguna, di mana JJPTR adalah sebahagian daripadanya.
MBI, yang mempunyai pelabur luar negara terutamanya dari China, terlibat dalam saham elektronik. Pelabur mendapat pulangan melalui “mekanisme berasingan” dan mendapat mata bonus yang membolehkan mereka membeli barangan dan perkhidmatan dengan perniagaan gabungan, seperti restoran, hotel dan pusat membeli-belah.
Skim MBI wujud selama kira-kira lapan tahun.
Berhati-hati dengan pulangan tinggi
Ahli ekonomi terlatih Cambridge Dr Lim Kim Hwa berkata rakyat perlu kembali kepada pepatah lama, jika ia kedengaran terlalu mustahil untuk menjadi kenyataan, ia sememangnya benar.
“Apa yang saya boleh katakan ialah pulangan yang tinggi tidak boleh dicapai. Ia tidak boleh dikekalkan.
“Malah profesional, seperti pengurus dana aset, tidak boleh mencapainya,” kata ahli lembaga pengarah Institut Pulau Pinang.
C.F. Lieu, penasihat kewangan bebas berlesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berkata pelabur perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa dana besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mampu menawarkan pulangan lumayan jika benar ia begitu mudah untuk dicapai.
“Jika ada sebarang sistem yang boleh menawarkan pulangan tinggi, 30% hingga 35% sebulan, sudah pasti satu entiti dengan dana berjumlah berbilion ringgit seperti KWSP boleh membelinya dan menjana keuntungan?
“Jika KWSP tidak boleh melakukannya, tidakkah anda terfikir ia mungkin satu penipuan?” kata pelabur kewangan yang berpangkalan di Pulau Pinang kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.
Lieu berkata pengusaha permainan wang biasanya akan menyasarkan pengguna tanpa kesedaran atau pengetahuan dalam pelaburan, dan kumpulan berpendapatan rendah yang inginkan pulangan tinggi dengan cepat.
Beliau berkata mereka yang melabur dalam skim itu, bukan sahaja mempertaruhkan wang sendiri tetapi secara tidak sengaja membahayakan pelabur lain.
“Orang fikir ia wang mereka sendiri dipertaruhkan (tetapi) ia lebih daripada itu. Apabila anda menyertai, anda membantu mengekalkan penipuan yang dikatakan itu.
“Ia menggalakkan lebih ramai operator untuk menipu orang ramai.” – 24 Mei, 2017.
Komen