RAKYAT Malaysia mungkin tidak dapat menikmati makan lewat malam atau menonton acara sukan di restoran 24 jam pada bila-bila masa tidak lama lagi kerana pengusaha terus bergelut dengan kekurangan pekerja.
Selain daripada sekatan kerajaan terhadap waktu operasi pemilik berkata adalah mustahil untuk membuka operasi sepanjang masa berikutan kekurangan tenaga kerja.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata beliau lebih suka waktu operasi perniagaan semasa di mana kedai makan terpaksa ditutup pada tengah malam.
Bagaimanapun katanya sekurang-kurangnya mereka akan mempertimbangkan untuk dibuka hanya sehingga 2 pagi kerana kekurangan tenaga kerja.
“Kita tidak cukup pekerja. Kita bukan hanya mahu kuantiti tetapi kualiti perkhidmatan juga penting. Jadi (dengan kekurangan pekerja) sukar untuk restoran beroperasi 24 jam.
“Walaupun kerajaan membenarkan restoran beroperasi sehingga 12 tengah malam beberapa restoran tutup pada 10 malam kerana kekurangan pekerja.
“Selain itu saya rasa orang ramai sudah menyesuaikan diri dengan norma baharu yang diperkenalkan semasa pandemik ini. Jadi walaupun kita benar-benar mahu buka lebih lama saya rasa operasi sehingga 2 pagi adalah maksimum (buat masa ini),” kata Jawahar yang merupakan pemilik restoran Ali Maju kepada The Malaysian Insight.
Bermula 3 Januari semua negeri dan wilayah di negara ini beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga tengah malam untuk semua negeri dalam fasa PPN kecuali kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD).
Restoran di kawasan rehat lebuh raya dan lapangan terbang boleh beroperasi sehingga 24 jam sehari.
Jawahar berkata dengan kebanyakan pekerja asing sudah pulang ke negara mereka semasa tempoh pandemik Covid-19 beliau berkata penduduk tempatan tidak bersedia untuk bekerja di restoran walaupun mereka menawarkan gaji permulaan yang baik serta faedah seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Anak-anak muda di negara kita lebih suka melakukan pekerjaan sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing.
“Hanya segelintir, terdesak dan warga emas yang datang memohon pekerjaan yang mana kami ambil tetapi masih belum mencukupi,” katanya.
Jawahar berkata terdapat kira-kira 4,000 ahli berdaftar di bawah Presma dan sebelum Covid-19 mereka mempunyai lebih 12,500 restoran yang beroperasi.
Beliau berkata setakat Disember tahun lepas lebih 2,000 restoran mamak ditutup untuk selama-lamanya.
“Kini selepas pandemik Covid-19 menyebabkan huru-hara dan tidak nampak akan kembali normal dalam masa terdekat, hanya terdapat kira-kira 9,000 lebih restoran yang beroperasi.
“Seorang ahli dari Subang yang mempunyai bangunan dan restoran sendiri memutuskan untuk menutup kedai dan menyewanya di pasar raya,” kata Jawahar yang mempunyai 18 cawangan restoran.
Jawahar berkata jika kerajaan menarik semula sekatan itu dalam beberapa bulan akan datang beliau mendakwa pengusaha restoran mungkin mempertimbangkan untuk beroperasi sehingga lewat malam hanya apabila ada beberapa acara sukan penting.
“Jika ada Piala Dunia, perlawanan bola sepak atau acara besar lain maka kita boleh mempertimbangkan tetapi walaupun begitu kita mahu kerajaan menarik semula sekatan dan berharap untuk mendapatkan tenaga kerja mencukupi pada masa itu,” katanya. – 8 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen