Kebanyakan kes baharu Covid-19 tahap 1 dan 2, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin nyata berkesan dan menggesa setiap orang untuk mendapatkan suntikan dan dos penggalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2022.

SEBANYAK 9,070 daripada 9,117 kes baharu yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori paling sederhana iaitu 1 dan 2, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ia mewakili 99.5% daripada kes yang didaftarkan hari ini, manakala hanya 47 kes atau 0.5% daripada kes baharu berada dalam kategori lebih serius iaitu 3, 4 dan 5.

Noor Hisham berkata, ia membuktikan keberkesanan vaksin dan menggesa setiap orang untuk mendapatkan suntikan dan dos penggalak sekali gus kekal dilindungi.

“Bagi mereka yang belum menerima vaksin dan pada masa sama tidak pernah dijangkiti Covid - anda kini berada dalam kumpulan yang paling berisiko dijangkiti virus itu.

“Kementerian menasihatkan semua supaya mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19. Mereka yang mendaftar, hadiri temujanji yang diberikan demi melindungi diri dan orang tersayang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut portal CovidNow kementerian, lebih 12.2 juta orang dewasa atau 52.3% daripada kumpulan itu di negara ini menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Seramai 22.9 juta atau 97.9% daripada populasi dewasa melengkapkan dos vaksin Covid-19 mereka, manakala 99.1% atau 23.2 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun, lebih daripada 2.79% daripada mereka menyelesaikan vaksinasi, manakala lebih 2.86 juta atau 91.2% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Malaysia kini melaporkan lebih 5,000 kes setiap hari sejak empat hari lalu dan jumlah jangkitan baharu yang direkodkan hari ini adalah yang tertinggi tahun ini.

Noor Hisham berkata, 8,983 daripada kes baharu itu membabitkan penularan tempatan dengan 8,715 daripadanya adalah rakyat Malaysia. – 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen