PENGUSAHA inap desa di kawasan tengah Semenanjung yang mengalami kerosakan akibat banjir Disember lepas sedang berusaha bangkit semula namun perniagaan mereka tidak dapat dibuka buat masa terdekat.
Mereka sudah membersihkan kesan lumpur dan keladak tetapi masih dalam proses pembaikan selain membeli perabot baharu bagi menggantikan yang musnah akibat banjir.
Bagi perniagaan kecil ini, membelanjakan hampir RM100,000 untuk pembaikan dan perabot baharu memerlukan aliran tunai apatah lagi baru keluar daripada sekatan pergerakan untuk membendung penularan Covid-19.
Di Dengkil, Ja’apar Mansor, 64, pengusaha inap desa untuk pemancing di sungai berhampiran hanya berharap perniagaannya dibuka semula selepas Hari Raya, yang jatuh pada awal Mei.
Banjir memusnahkan segala-galanya dan semua tempahan terpaksa dibatalkan.
“Kami sudah ganti perabot bilik tidur, dan dapur, selain juga barangan elektronik seperti televisyen.
“Kira-kira 70% sudah selesai tetapi masih belum bersedia untuk menerima sebarang tempahan sehingga selepas Hari Raya,” kata pemilik Riverview Homestay kepada The Malaysian Insight.
Pada hujung minggu 18 hingga 19 Disember apabila hujan lebat luar biasa melanda Selangor, Ja’afar berkata air dari Sungai Langat sangat kuat dan naik dengan begitu cepat sehingga keluarganya tidak sempat bertindak.
“Saya dan keluarga berada di rumah. Apabila kami sedar ada yang tidak kena, air naik dengan cepat sehingga kami tidak dapat selamatkan semua barang.
“Selepas banjir, pemancing yang buat batalkan tempahan, tetapi saya bersyukur sebab tiada seorang pun daripada mereka meminta wang deposit dikembalikan. Mereka dermakannya untuk bangunkan semula inap desa saya.”
Ja’afar, bekas penjawat awam sebelum bersara yang memulakan perniagaan inap desa lapan tahun lepas berkata tempatnya popular dalam kalangan kaki pancing yang biasanya bermalam satu atau dua malam untuk memancing di sungai.
Selain, Dengkil, antara kawasan yang terjejas teruk di Selangor ialah Shah Alam, Hulu Langat, Kuala Langat dan Ulu Yam.
Negeri lain yang terjejas akibat banjir ialah Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah. Di seluruh negara, seramai 55 orang maut manakala lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal ketika banjir Disember lepas.
Pihak berkuasa berkata walaupun Jabatan Meteorologi telah memberi amaran hujan lebat berterusan, mereka tidak menjangkakan ia akan menyebabkan paras air meningkat lebih cepat.

Di Janda Baik, Pahang, yang bersempadan dengan Selangor, Kak Yan, seorang lagi pemilik inap desa berkata beliau terpaksa tutp perniagaan selama beberapa bulan lagi memandangkan kerja-kerja pembaikan besar-besaran diperlukan untuk hartanahnya yang dinamakan Sham Chalet.
Kak Yan yang hanya mahu dikenali dengan nama itu berkata, beliau kehilangan tiga gazebo, dua pondok dan sebuah chalet yang mula dibaikinya.
“Saya tidak mahu kira kerugian. Tetapi saya boleh beritahu anda (jumlah) ia banyak. Kami perlu ganti tilam, peralatan dan perabot, selain kos untuk bina struktur baharu. Ia akan menelan belanja puluhan ribu ringgit.”
Bagi mendapatkan sedikit pendapatan, walaupun tidak banyak, beliau menerima tempahan keluarga kecil dan menetap pada hujung minggu atau beberapa hari.
“Jika mereka masuk dan dapati tempat itu boleh diterima, saya akan benarkan mereka tinggal. Tapi saya belum ambil tempahan lagi. Saya tidak mahu pelanggan buat tempahan dan kemudian datang ke sini baru tahu masih dalam pembaikan.
“Saya hanya akan buka semula tempahan apabila semuanya selesai,” kata wanita berusia 51 tahun itu.
Kak Yan sendiri terkandas berjam-jam di atas bumbung rumahnya ketika menunggu bantuan semasa banjir Disember lalu.
“Ia adalah banjir paling teruk dalam pengalaman saya. Ia sangat sejuk dan kami menggigil dan terpaksa berendam berjam-jam sebelum diselamatkan.
“Sebab arus sangat kuat, bomba tidak dapat hubungi kami,” katanya.
Beliau juga berkata selepas air surut, sungai berhampiran inap desanya telah berubah.
“Arusnya sangat kuat sehingga mengubah struktur sungai. Ia kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.”
Sementara itu, seorang pengusaha inap desa dan tapak semaian di Pantai, Negeri Sembilan bukan sahaja mengalami kerosakan di rumahnya malah kehilangan banyak tanaman berharga miliknya.
Hartini, dari Hartini Homestay Spa, berkata tapak semaiannya rosak teruk.
“Sesetengah tumbuhan berjaya diselamatkan tetapi perlu dirawat. Kami sudah berjaya bersihkan inap desa dan tapak semaian, buat kerja-kerja pembaikan dan ganti peralatan dan perabot.
“Perlahan tetapi pasti, walaupun ia akan jadi perjalanan yang panjang untuk pulih,” katanya.
Di seluruh negara, pembersihan pasca banjir telah mencapai 98% siap di bawah fasa pertama, yang melibatkan enam negeri, manakala 100% dsap di bawah fasa kedua, yang melibatkan dua negeri.
Pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka menelan belanja kira-kira RM1 bilion.
Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata sebanyak 438 tan sampah dikumpulkan dalam kedua-dua fasa, yang menggunakan 112 jenis jentera dan 354 pekerja. – 6 Februari, 2022.
Komen