Projek pembalakan, perlombongan di Kenderong mungkin tidak diluluskan, kata MB


Hutan Simpan Kenderong di mukim Kerunai, Gerik dibimbangi menjadi mangsa projek pembalakan dan perlombongan bijih timah. – Gambar Facebook, 5 Februari, 2022.

KERAJAAN negeri Perak tidak akan memberi kelulusan kepada projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di kawasan Hutan Simpan Kenderong di mukim Kerunai, Gerik sekiranya mendatangkan kesan buruk.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata pihaknya akan membuat semakan dan mendapatkan laporan penuh daripada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) terlebih dahulu.

“Kami menghormati keprihatinan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan kerajaan negeri akan mengambil maklum semua itu, sekiranya ia kawasan sensitif alam sekitar, sudah tentu aktiviti sedemikian tidak boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program bersama Sahabat AIM di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini.

Semalam, SAM dilapor membantah cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di kawasan seluas 245 hektar yang dinyahwartakan di hutan simpan itu.

Presidennya Meenakshi Raman menyifatkan pembersihan hutan yang disebut dalam laporan penilaian kesan awal kepada alam sekeliling (EIA) sebagai berpotensi mencemarkan sumber air tempatan dan tapak yang dicadangkan adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

Saarani berkata, keputusan akhir berkaitan projek itu hanya dibuat selepas laporan EIA dikeluarkan dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak. – Bernama, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen