Austria mula wajibkan vaksinasi Covid-19


Penunjuk perasaan di Vienna, Austria dengan kain rentang bertuliskan "petugas kesihatan tolak vaksinasi wajib" semasa demonstrasi menentang langkah-langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan Covid-19. – Gambar EPA, 5 Februari, 2022.

MULAI Sabtu rakyat Austria berusia 18 tahun ke atas wajib disuntik vaksin Covid-19 atau mungkin berdepan denda berat, tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam Kesatuan Eropah (EU).

Peraturan baharu itu, yang diterima pakai pada 20 Januari oleh Parlimen, telah dipersetujui menjadi undang-undang oleh Presiden Alexander Van der Bellen pada Jumaat.

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pendekatan baharu yang lebih keras walaupun mendapat kritikan hebat dalam negara.

“Tiada negara lain di Eropah yang ikut kami wajibkan vaksinasi,” kata Manuel Krautgartner, yang telah berkempen menentang pendekatan baharu itu.

Di negara jiran, Jerman, undang-undang serupa yang diperjuangkan oleh Canselor Sosial Demokrat Olaf Scholz yang baharu telah dibahaskan bulan lalu di Bundestag, atau dewan rendah Parlimen, tetapi masih belum mencapai kemajuan kerana perpecahan dalam kelas politik.

Walaupun ancaman tindakan drastik sedemikian, kadar vaksinasi di Austria masih rendah.

Pusat vaksinasi Vienna kekal sunyi.

“Kami masih jauh daripada mencapai kapasiti maksimum, keadaan tidak berubah sepenuhnya,” kata Stefanie Kurzweil, dari persatuan kemanusiaan Arbeiter Samariter Bund.

Melanie, seorang pelayan wanita berusia 23 tahun yang memilih untuk tidak memberikan nama penuhnya berada di pusat itu untuk mendapatkan suntikan penggalaknya, berkata dia berada di sana untuk elak daripada “dikurung di rumah”.

Orang yang tidak divaksinasi pada masa ini dikecualikan daripada restoran, tempat sukan dan kebudayaan.

Tetapi mulai sekarang mereka juga akan dikenakan denda, yang menurut Melanie sebagai “tidak bagus”.

Undang-undang terpakai kepada semua penduduk dewasa kecuali wanita hamil, mereka yang telah dijangkiti virus dalam tempoh 180 hari yang lalu dan mereka yang mempunyai pengecualian perubatan.

Pemeriksaan akan bermula pertengahan Mac, dengan sekatan antara 600 hingga 3,600 euro (AS$690-AS$4,100).

Bagaimanapun, denda akan ditarik balik jika orang yang didenda mendapatkan vaksin dalam tempoh dua minggu. – AFP, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen