CADANGAN undang-undang untuk membendung “berita palsu” tidak sepatutnya digunakan kerajaan untuk menyekat berita mengkritik, terutamanya berkaitan skandal kewangan terbesar negara, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Undang-undang baru ini memang baik kalau ianya ditujukan kepada berita yang sebenarnya palsu,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu dalam satu video yang disiarkan di Facebook hari ini.
“Tetapi janganlah pula ia digunakan untuk memadam segala artikel ataupun berita berkenaan dengan benda yang benar. Kita tahu umpamanya mengenai 1MDB, RM2.6 bilion dan sebagainya. Ini bukan palsu, ini cerita yang benar,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Berhad.
“Jadi asingkan yang benar daripada yang dikatakan berita palsu. Jangan gunakan undang-undang ini untuk menutup kebenaran,” tambah Dr Mahathir.
The Wall Street Journal pada pertengahan 2015 melaporkan sebanyak RM2.6 bilion disalurkan daripada akaun berkaitan 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak sebelum pilihan raya umum ke 13.
Najib berkata, RM2.6 bilion itu merupakan derma daripada putera Arab Saudi. Dia secara konsisten menafikan salah laku dan turut dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh Peguam Negara Mohamed Aoabdi Ali pada Januari 2016.
Dalam video yang sama, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan sendiri yang mencipta “berita palsu”.
“Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib hari ini mencadangkan supaya suatu langkah dan tindakan diambil terhadap berita-berita palsu dengan memperkenalkan undang-undang. Yang kita tahu pada hari ini berita-berita palsu banyak datangnya daripada pihak Umno dan Barisan Nasional,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.
“Jelas mereka tidak dapat menjawab dengan begitu nyata segala perkara-perkara yang telah menjadi masalah dalam negara. Jadi, sekiranya tujuannya adalah untuk menapis segala bentuk berita dan melabelkan berita yang datang daripada pembangkang sebagai palsu, ini adalah satu penganiayaan dan tidak bertanggungjawab.
“Saya percaya jika langkah itu benar-benar mahu diambil, maka ia mesti dilaksanakan secara adil dan saksama berdasarkan data dan fakta yang sedia ada untuk menbuktikan sesuatu berita itu benar atau sebaliknya,” kata Muhyiddin.
Minggu lalu, Najib mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang baru bagi membendung “berita palsu”, yang katanya merupakan ancaman kepada kestabilan politik dan awam.
Satu pasukan khas ditubuh bulan lalu bagi mengkaji undang-undang itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata pasukan itu termasuk wakil daripada polis, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Perundangan, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Kumpulan peguam, Lawyer for Liberty berkata cubaan Putrajaya untuk mewujudkan undang-undang bagi membendung “berita palsu” perlu dilihat secara serius, kerana ia mungkin akan menghalang kebebasan bersuara, ekspresi, maklumat dan akhbar.
Undang-undang berita juga terdedah kepada penyalahgunaan, kerana wujud persoalan sama ada kerajaan dapat membezakan maklumat “terang-terangan” dari pelaporan berita kritikal yang jika tidak mengandungi kesilapan, kata kumpulan itu.
Pada Ahad, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak menafikan dakwaan pembangkang bahawa formulasi undang-undang terhadap berita palsu adalah untuk melindungi kepentingan politik kerajaan.
“Jika kita tidak mengawal berita palsu, ia akan memberi kesan kepada keharmonian kaum dan agama di Malaysia,” kata Salleh.
Terdahulu hari ini, Azalina berkata draf undang-undang bagi membendung berita palsu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. – 6 Februari, 2018.
Komen