Jumlah kematian Covid-19 di AS melepasi angka 900,000 kes


Kes baharu yang dikaitkan dengan varian Omicron di Amerika Syarikat semakin menurun tetapi kematian harian masih meningkat dengan purata 2,400 ketika ini. – Gambar EPA, 5 Februari, 2022.

JUMLAH kematian di Amerika Syarikat (AS) akibat pandemik Covid-19 melepasi angka 90,000 kes semalam, menurut Universiti Johns Hopkins.

Jumlah korban mencecah 800,000 kes pertengahan Disember, hanya sebulan setengah yang lalu.

Kes baharu yang dikaitkan dengan varian Omicron semakin menurun tetapi kematian harian masih meningkat dengan purata 2,400 ketika ini, menurut angka kerajaan.

“Kadar kemasukan ke hospital kekal tinggi, meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan tenaga kerja kami di beberapa kawasan di negara ini,” kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Rochelle Walensky.

Kematian Covid-19 biasanya berlaku beberapa minggu selepas pesakit dijangkiti virus. 

Ramai rakyat AS meninggal dunia akibat Covid-19 kerana hanya 64% daripada populasi yang menerima vaksin sepenuhnya walaupun program vaksinasi dibuat dengan meluas.

AS mempunyai jumlah kematian Covid-19 tertinggi mendahului Brazil dan India, menurut angka kerajaan.

Pandemik Covid-19 membunuh sekurang-kurangnya 5.7 juta orang di seluruh dunia sejak ia bermula pada Disember 2019, menurut pengiraan AFP yang diterbitkan semalam.

Tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata angka sebenar mungkin dua hingga tiga kali lebih tinggi. – AFP, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen