Malaysia rekod 7,234 kes baharu Covid-19


Malaysia kini berdepan 63,395 kes aktif Covid-19 apabila 7,234 lagi kes dilaporkan semalam sementara kumulatif kes kematian setakat ini sebanyak 32,011. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2022.

MALAYSIA kini berdepan dengan 63,395 kes aktif Covid-19 apabila 7,234 lagi kes dilaporkan semalam sementara kumulatif kes kematian setakat ini sebanyak 32,011.

Kali terakhir negara mencatat kes sekitar 7,000 adalah pada 16 Oktober, 2021 iaitu 7,509 kes.

Kes kumulatif Covid-19 Malaysia pula meningkat kepada 2,895,014 sejak pandemik Covid-19 melanda negara dengan tiga kes pertama, melibatkan tiga warga China, yang memasuki negara ini melalui Johor dari Singapura, dikesan pada 25 Januari, 2020.

Kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (29 Januari hingga 4 Februari, 2022) melepasi paras 5,000 selama lima hari iaitu 29 Januari (5,139 kes), 1 Februari (5,566 kes), 2 Februari (5,736 kes), 3 Februari (5,720 kes) dan 4 Februari (7,234).

Malaysia kembali mencatat kes harian baharu melebihi 5,000 selama dua hari berturut-turut pada 27 Januari (5,439) dan 28 Januari (5,522).

Malaysia dijangka dapat menangani sebarang lonjakan kes berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitternya pada 1 Februari lepas:“Malaysia dilihat lebih bersedia untuk menangani lonjakan kes Covid-19 varian Omicron selain berpengalaman dalam melindungi golongan rentan.”

Beliau berkata berbanding Jun hingga September 2021, Malaysia lebih bersedia susulan pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Lebih sebulan lepas, saya berkata kita menjangkakan Omicron akan menjadi dominan di sini seperti yang berlaku di tempat-tempat lain dan apabila ia berlaku, kes akan meningkat. Itulah, sebabnya kita mempercepatkan program pemberian suntikan dos penggalak.”

Menurut data Covidnow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga 11:59 malam tadi, daripada 63,395 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, sebanyak 55,759 (88%) dikuarantin di rumah.

Sementara itu, 4,092 kes (6.5%) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 3,426 kes (5.4 peratus) di hospital; 61 kes (0.1%) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 57 kes (0.1%) di ICU memerlukan ABP.

Dengan kes kumulatif 2,895,014 kes, Malaysia kini di tangga 27 daripada 222 negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Jepun (3,007,746 kes) dan Kanada (3,105,184 kes).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam, daripada 7,234 kes harian baharu, hanya 73 kes (1%) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 7,161 kes (99%) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5.  Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Kes sembuh pesakit Covid-19 yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 5,254 dan menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,799,608 kes (96.7%).

Sementara itu, sebanyak 81 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat 4 Februari dan hanya 34 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 3 Februari 2022 ialah Perlis (1.25), Johor (1.20) dan Pulau Pinang (1.17).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini. – Bernama, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen