SATU lagi rombakan besar-besaran akan berlaku dalam kontinjen polis Melaka tidak lama lagi, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar hari ini.
Kontinjen Polis Melaka menjadi tumpuan baru-baru ini susulan penahanan tujuh pegawainya dan seorang anggota berpangkat koperal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pembabitan kes rasuah, minggu lalu.
Khalid berkata kumpulan pertama “kenaikan pangkat” dan rombakan jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia sudah pun bermula.
Di Melaka, 15 pegawai melibatkan pelbagai jawatan dan pangkat dalam kontijen Melaka sudah diarahkan menjalani rombakan dalaman.
“Lebih banyak rombakan akan dilakukan,” katanya kepada media selepas melancarkan kempen derma darah di ibu pejabat polis di Bukit Aman pagi tadi.
Minggu lepas SPRM menahan 11 suspek termasuklah ketua polis Jasin dan Melaka Tengah kerana dakwaan terlibat dalam skandal duit perlindungan di bandar itu.
Suspek ke 12, ketua CID Melaka Tengah ditahan Isnin lepas untuk membantu siasatan SPRM.
Mereka dipercayai menerima duit daripada sindiket sebagai balasan memberikan perlindungan kepada pusat urut dan judi haram di Melaka.
Khalid akan melawat kontijen polis Melaka Jumaat ini untuk pertemuan dengan skuad di sana.
Mengulas dakwaan yang anggota polis negeri itu menerima sogokan supaya mereka mampu menghiburkan dan melayan kehendak pegawai atasan mereka, Khalid berkata dia tidak yakin perkara sedemikian berlaku.
“Ia tidak sepatutnya berlaku. Ia bukan budaya kita. Tetapi jika orang negeri lain datang melawat, biasalah kalau kita melayan dan menjamu mereka tetapi ia bukan jamuan mewah,” katanya.
Dia juga mendesak anggota polis yang dipaksa dan ‘dibuli’ untuk tunduk kepada permintaan sebegitu atau mempunyai maklumat tentang salah laku pegawai lain supaya membuat laporan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
“Anda boleh lakukan ia tanpa beri nama. Anda boleh buat guna panggilan telefon, email malah boleh datang jumpa kami sendiri,” katanya. – 24 Mei, 2017.
Komen