Undian dalam talian tunjukkan pembaca pilih parti, bukan calon


Looi Sue-Chern

Menurut undian dalam talian 65% akan memilih parti politik pilihan mereka, dan hanya 35% akan mempertimbangkan calon sebelum membuat keputusan. – Gambar EPA, 6 Februari, 2018.

SEBAHAGIAN besar daripada 533 individu yang mengambil bahagian undian dalam talian yang berlangsung bagi tempoh 24 jam, menunjukkan mereka akan mengundi parti dan bukannya calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Tinjauan pendapat oleh The Malaysian Insight yang berakhir petang ini bertanya para pembaca sama ada mereka akan mengundi berdasarkan parti atau mempertimbangkan siapa yang menjadi calon di kawasan masing-masing.

Di Twitter, 63% (239) daripada 379 pengguna media sosial berkata mereka akan memilih parti, tanpa mengira calonnya.

Sementara itu, di Facebook, 69% (106) daripada 154 orang yang menjawab mempunyai pendapat yang sama.

Jika digabungkan, ia bermakna 65% (345 orang) akan memilih parti politik pilihan mereka, dan hanya 35% (188) akan mempertimbangkan calon sebelum membuat keputusan.

Hanya segelintir yang berkongsi pandangan mereka seperti pengguna Facebook, Baharuddin Ishak, yang mengisytiharkan beliau akan mengundi Pakatan Harapan (PH).

“Undi parti PH ..apa xnya (xsudah2 BN/Umno dengan dasar pecah n perintah,” katanya.

Seorang pengguna Facebook lain Febe Han berkata: “Sudah tentu calon.”

Di Twitter, Encik Khalid (@_Acat_) tweeted: “Saya mengundi untuk perubahan.”

Seorang lagi pengguna Twitter, Izwan (@izwanshahmin), berkata beliau akan memilih calon yang bertanding.

PRU14, yang akan diadakan dalam masa beberapa bulan, akan menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) menentang pakatan pembangkang baru PH, yang diketuai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad; dan Gagasan Sejahtera, yang akan diketuai oleh PAS.

PAS parti Islam, yang memutuskan hubungan dengan bekas parti pakatan pembangkang PKR dan DAP, dijangka menjadi pengacau yang akan memecah undi Melayu di kebanyak banyak kerusi di seluruh negara, satu kelebihan kepada BN, terutamanya Umno.

PH yang tidak berdepan masalah mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, berharap kepada pengerusinya Dr Mahathir dan Bersatu untuk mengimbangi undi Melayu, iaitu di kawasan pedalaman di mana BN menganggap sebagai deposit selamat.

Pada masa ini, PH sedang berusaha untuk mendaftar sebagai gabungan sebelum pilihan raya agar komponennya - Bersatu, PKR, DAP dan Amanah - boleh bertanding di bawah satu bendera dan simbol yang sama.

Gabungan itu masih menunggu Pendaftar Pertubuhan untuk memutuskan permohonannya, yang dihantar pada Julai tahun lepas.

Pada Ahad, Dr Mahathir menggesa semua parti PH bersatu dan menyokong semua calon pilihannya, tanpa menghiraukan parti mana mereka datang.

Beliau juga berkata parti boleh memastikan ahli dan penyokong mengundi gabungan dalam pilihan raya, tetapi mereka juga perlu mensasarkan pengundi, yang tidak komited kepada mana-mana parti politik.

Beliau berkata, pihaknya juga harus mempertimbangkan populariti calon masing-masing. – 6 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen