Covid-19: Hanya 2 sekolah berasrama di Melaka ditutup setakat ini


Kedua-dua sekolah berasrama berkenaan sedia untuk dibuka semula bagi pembelajaran bersemuka selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Rais Yasin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2022.

HANYA dua daripada 10 sekolah berasrama di Melaka yang dikesan merekodkan kes positif Covid-19 diarah tutup setakat ini, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Rais Yasin.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua sekolah berasrama berkenaan sedia untuk dibuka semula bagi pembelajaran bersemuka selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan.

“Berdasarkan data terkini, terdapat lebih kurang 309 pelajar yang telah dikuarantin manakala 86 pelajar telah selesai menjalani tempoh kuarantin kendiri,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Rais berkata Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil pelbagai langkah awal bagi mengawal penularan kes Covid-19 di semua sekolah di Melaka antaranya menyediakan laporan tepat, mengasingkan pelajar yang positif dan mengasingkan kontak rapat serta melakukan sanitasi segera di sekolah terlibat.

Katanya, bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang positif dan masih menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), rumah atau asrama hingga 8 Februari ini terpaksa menangguh untuk menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu pada sidang kedua, April ini dan tarikhnya akan ditentukan Kementerian Pelajaran. 

“Saya selaku Exco Pendidikan dan Teknologi bersama jabatan serta agensi terlibat sentiasa melipatgandakan usaha kami untuk membanteras wabak ini dan langkah penjagaan dalam kalangan pelajar khusus di sekolah berasrama akan dipertingkatkan lagi.

“Saya juga memohon agar semua pihak khususnya ibu bapa dan masyarakat sentiasa bersabar dan kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan bagi memutuskan penularan Covid-19 ini dengan segera,” katanya.

Menurut Rais, pihak Jabatan Pendidikan Melaka juga sentiasa bersedia dengan sebarang arahan dan saranan yang mungkin dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri berhubung penutupan sesi persekolahan secara bersemuka. – Bernama, 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen