Pakatan umum penyandang kerusi Paloh calon pertama PRN Johor


Alfian Z.M. Tahir

DAP bukan sahaja akan mempertahankan Paloh tetapi sedang melancarkan langkahnya untuk merampas semula Johor, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2022.

PENYANDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Sheikh Omar Ali akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Keputusan itu dibuat ketika Pakatan Harapan mengumumkan calon pertamanya bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Ketika berbuat demikian, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu bukan sahaja akan mempertahankan Paloh tetapi sedang melancarkan langkahnya untuk merampas semula negeri selatan itu.

“Kami tidak akan menang hanya di Paloh, tetapi kami akan membentuk kerajaan negeri di Johor. Paloh adalah paluan pertama kami sebelum kami merampas semula Johor,” katanya dalam sidang media ringkas di Kluang hari ini yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Sheikh Omar yang berusia 37 tahun menewaskan calon MCA Teoh Yap Kun dan calon bebas Shanmugan Munusamy dengan lebih 8,000 undi untuk memenangi kerusi itu pada pilihan raya 2018.

Sheikh Omar adalah bekas ahli PAS sebelum menyertai DAP pada 2015.

Beliau dilantik sebagai ahli Exco kerajaan negeri Johor semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan negeri.

Beliau adalah salah seorang daripada segelintir calon Melayu yang dicalonkan DAP untuk bertanding di kerusi DUN pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Sheikh Omar berkata beliau berasa kuat di Paloh berikutan sokongan tidak henti daripada pengundi DAP dan orang ramai.

Beliau berikrar untuk meningkatkan ekonomi di Johor di mana belia mungkin tidak perlu lagi bekerja di Singapura untuk mendapatkan gaji yang berpatutan.

“Jika kita boleh menghapuskan rasuah dan menegakkan ketelusan kita boleh meningkatkan ekonomi kita. Belia mungkin tidak lagi perlu pergi ke Singapura.”

“Ibu bapa kita yang sudah tua mungkin tidak perlu bekerja di Singapura untuk menampung kehidupan. Kita boleh meningkatkan kehidupan kita dengan mempunyai kerajaan yang stabil dan bersih,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat pada 9 Februari untuk menetapkan tarikh PRN Johor.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata beliau mahukan mandat yang jelas untuk mentadbir negeri itu, kerana gabungan kerajaan BN dan PN hanya berkelebihan satu kerusi.

Sebelum Hasni, Johor dipimpin Allahyarham Osman Sapian yang kemudiannya digantikan oleh Sahruddin Jamal. – 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen