PERSEKUTUAN Majikan-majikan Malaysia (MEF) sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan kemahiran pekerja dalam penggunaan teknologi moden bagi menuju era pendigitalan.
Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman berkata MEF mempunyai akademi dan menjalankan kerjasama sendiri dengan institusi tempatan untuk melatih pekerja yang berdaftar di bawah persekutuan itu.
“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kemahiran pekerja mereka yang diperlukan untuk teknologi moden,” kata Syed Hussain.
“Kami telah mengenal pasti beberapa sektor untuk program ini seperti Blockchain, Pengaturcaraan Komputer, Keselamatan Siber dan IoT.”
The Malaysian Insight semalam melaporkan perniagaan kecil tidak bergerak ke arah pendigitalan kerana mereka kekurangan latihan dalam teknologi automasi atau kecerdasan buatan (AI).
Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata tanpa sokongan kerajaan, PKS tidak akan dapat menerima pakai dan menggunakan pendigitalan dalam perniagaan mereka.
Beliau mencadangkan kerajaan mengambil pakar asing untuk melatih pemain industri.
“Jika anda mahu PKS dapat menggunakan IR4.0 atau teknologi digital tinggi, kerajaan harus melatih usahawan mikro dan PKS untuk meningkatkan produktiviti,” kata Ding.
Bank Dunia dalam laporan tahun lepas menyatakan, walaupun kedudukan PKS sebagai tulang belakang persekitaran perniagaan negara, namun sektor ini masih ketinggalan berbanding rakan serantau mereka dalam menerima pakai teknologi digital.
Ini menunjukkan bahawa PKS Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara setara, baik dari segi pengeluaran malah tahap produktiviti.
Syed Hussain menambah, selain menyediakan latihan, MEF juga mempunyai hubungan rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan HRDCorp.
“Kami memberi sokongan dan insentif lain selain kami mendekati Kementerian Pengajian Tinggi untuk menawarkan latihan kepada graduan baharu.
“Kami juga terlibat secara aktif dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.
Tahun lalu, nilai e-dagang Malaysia melonjak 33% kepada RM896 bilion selepas mencatatkan pendapatan RM675 bilion pada 2019, menurut data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.
Majoriti daripada mereka menggunakan teknologi di media sosial (60%) dan internet mudah alih (63.8%) manakala hanya segelintir yang meneroka teknologi sempadan seperti analisis data (6.3%).
Ini disokong tinjauan dijalankan SME Corporation dan Huawei Technologies, yang mendedahkan penggunaan internet, pengkomputeran awan dan analitik data adalah jarang berlaku dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Satu kajian yang dijalankan Persatuan PKS Malaysia mendedahkan hanya 26% daripada PKS memilih teknologi digital sebagai strategi pertumbuhan utama mereka pasca pandemik.
Majoriti PKS (57%) masih belum mula mendigitalkan perniagaan mereka.
Dalam Belanjawan 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan tumpuan khusus akan diberikan untuk membantu usahawan tempatan beralih kepada perkhidmatan digital.
Tengku Zafrul berkata usahawan PKS layak menerima faedah menggunakan e-dagang, pemasaran dalam talian dan pembayaran digital.
Ini termasuk inisiatif pendigitalan PKS di mana geran padanan 50% sehingga RM5,000 bagi setiap PKS akan disediakan dalam tempoh lima tahun untuk langganan perkhidmatan digital yang akan meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka. – 5 Februari, 2022.
Komen