ANGKA korban rasmi akibat Covid-19 di India melepasi 500,000 pada hari Jumaat, walaupun ramai pakar percaya angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Kemas kini harian daripada kementerian kesihatan negara itu menunjukkan jumlah kematian mencecah 500,055, meningkat 1,072 dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Menurut statistik, jumlah jangkitan mencecah 41.9 juta, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.
Bilangan kes melonjak dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan varian Omicron yang pantas berjangkit tetapi kadarnya semakin perlahan sejak beberapa hari ini.
Malah, menurut kementerian kesihatan terdapat tanda-tanda mendatar bagi wabak ini di beberapa bahagian negara itu.
Pakar berkata gelombang Omicron tidak akan menyebabkan banyak kematian atau kemasukan ke hospital, tetapi beberapa negeri mengenakan sekatan ke atas pergerakan dan kini mula melonggarkannya.
Pihak berkuasa di kawasan Delhi termasuk ibu negara pada Jumaat mengumumkan sekolah tinggi, kolej, restoran dan gim akan dibenarkan dibuka mulai minggu depan.
Timbalan Ketua Menteri Delhi Manish Sisodia di Twitter berkata, selepas ditutup selama hampir dua tahun, pertama kerana Covid-19 dan kemudian sekali lagi kerana pencemaran, kelas secara fizikal untuk kanak-kanak berumur empat hingga 14 tahun akan dibuka semula pada 14 Februari ini.
India dilanda lonjakan teruk dalam kes tahun lepas disebabkan varian Delta yang membawa sistem penjagaan kesihatannya hampir runtuh.
Ramai penganalisis percaya negara itu sebenarnya mungkin telah mencapai angka 500,000 kematian tahun lepas sendiri.
Gelombang itu menyaksikan sekurang-kurangnya 200,000 kematian kerana hospital kehabisan oksigen dan pesakit terdesak mendapatkan ubat. – AFP, 4 Februari, 2022.
Komen