Batal tarif baharu elektrik agar perniagaan bertahan, kata Guan Eng


Noel Achariam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan perlu batalkan kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan keran aia akan membebankan syarikat mereka selain rakyat juga terpaksa menanggung peningkatan harga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2022.

PUTRAJAYA perlu segera batalkan kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan supaya membolehkan mereka keluar daripada kegawatan ekonomi semasa, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata penting untuk menangani kebimbangan perniagaan yang mungkin memberi kesan buruk kepada keuntungan dan kelangsungan hidup syarikat mereka.

“Tarif elektrik yang lebih tinggi ke atas perniagaan melalui surcaj dan penarikan balik rebat tidak dibantu oleh kelemahan ringgit yang meningkatkan harga import.

“Lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri akan membayar sehingga hampir 20 peratus untuk elektrik mulai 1 Februari, yang membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 30 Januari, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri akan menjadi penghalang kepada pemulihan perniagaan yang terkesan akibat Covid-19.

Ia berkata kenaikan antara 11.8 hingga 18.4 peratus itu akan mengakibatkan kenaikan harga barangan kerana PKS terpaksa meletakkan kos kepada pengguna.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga mengingatkan pihak syarikat dan industri untuk tidak menaikkan harga barang atas alasan kenaikan bil elektrik selepas ketiadaan rebat selain turut dikenakan surcaj.

Beliau berkata perubahan dalam bil elektrik yang perlu dibayar oleh syarikat dan industri tidak terlalu besar sehingga membolehkan pihak terlibat mengambil kesempatan untuk mewajarkan kenaikan harga barang.

Ismail Sabri berkata demikian apabila ditanya mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga barang selepas pengguna komersial dan industri akan dikenakan surcaj 3.70 sen/Kilowatt jam (kWj) dan tiada lagi rebat 2 sen/kWj seperti yang diberikan sebelum ini.

Dalam pada itu Lim berkata walaupun aktiviti perniagaan lebih rancak dalam tempoh Tahun Baharu Cina, kebimbangan utama adalah kekurangan pekerja bagi menampung permintaan yang meningkat.

“Ketidakupayaan untuk mendapatkan pekerja telah memaksa beberapa perniagaan untuk ‘berehat’ dalam tempoh yang biasanya sibuk dan menguntungkan ini.

“Terdapat juga kebimbangan mengenai inflasi dan kenaikan harga bukan sahaja makanan tetapi juga barangan asas lain.”

Ahli Parlimen Bagan itu turut mempersoalkan mengapa pengguna perlu membayar lebih hanya untuk meningkatkan keuntungan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

“Sebelum kenaikan tarif baharu ini, TNB telah mencatatkan peningkatan hasil dan pendapatan sebanyak 9.6 peratus dan 4.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021.

“Tidakkah itu memadai sedangkan banyak lagi syarikat hampir tidak dapat bertahan? TNB tidak sepatutnya terlalu dilindungi dengan mengorbankan berjuta-juta perniagaan yang bergelut yang sedang berusaha bangkit ketika pandemik Covid-19.”

Lim berkata birokrasi kerajaan, ketidakcekapan dan dasar flip-flop serta pusingan-U menyebabkan kekeliruan bukannya kepastian, menyebabkan gangguan bukannya kebolehpercayaan selain menimbulkan keraguan bukannya keyakinan.

“Kebimbangan lain adalah peningkatan rasuah yang ditunjukkan oleh penurunan drastik Indeks Persepsi Rasuah 2021 oleh Transparency International ke tangga 62 daripada 51 pada 2019 yang hanya akan membebankan perniagaan.”

Tambah Lim terdapat kerajaan tidak cekap dan gagal memanfaatkan faedah teknologi tinggi automasi, Kepintaran Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan juga 5G.

Ini, katanya, supaya mempercepatkan Malaysia dan tidak ketinggalan oleh negara seperti Vietnam atau Thailand.

“Terdapat juga kebimbangan mengenai kegagalan kerajaan untuk menyahut janji mereka sendiri bagi mempertimbangkan lanjutan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah selama enam bulan lagi untuk membantu perniagaan yang mahu bangkit daripada pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi untuk terus hidup dan berkembang maju.”

Lim juga berkata kebimbangan terhadap pandemik telah surut, dengan kerajaan menepati janjinya untuk tidak mengenakan semula sekatan pergerakan bersiri.

Beliau berkata sekatan telah terbukti tidak berjaya menghapuskan Covid-19 malah sepenuhnya menggagalkan ekonomi sekali gus menyebabkan negara gawat.

“Adakah kerajaan akan bertindak atau terus tidur dan hanya tumpu kelangsungan politik mereka lebih daripada kepentingan rakyat?” – 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen