Kematian akibat Covid-19 cecah 32,000, lapor KKM


Ravin Palanisamy

Lapan kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini ketika negara mencatatkan peningkatan jangkitan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2022.

JUMLAH kematian akibat Covid-19 mencecah 32,000 selepas Malaysia mencatatkan lapan kematian baharu hari ini, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Semua kematian merupakan kes tertunggak.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 terus meningkat apabila KKM melaporkan 5,720 jangkitan baharu berbanding 3,968 kes pulih semalam.

Perbezaan 1,744 antara jangkitan baharu dan kes pulih menjadikan kes aktif kepada 61,426.

Ini menjadikan kes baharu mengatasi kes pulih buat hari ke-17 berturut-turut.

Hampir 90 peratus kes aktif dalam kategori kurang teruk.

Daripada jumlah kes aktif, 53,805 pesakit kuarantin di rumah, 4,209 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 3,298 di hospital.

Turut dilaporkan 905 kemasukan ke hospital akibat Covid-19 semalam.

Kadar penggunaan hospital negara meningkat kepada 62.3 peratus semalam daripada 60.8 peratus sehari sebelumnya manakala kadar pesakit koronavirus di hospital pada kadar 33.7 peratus.

Penggunaan ventilator pada kadar 33.2 peratus manakala penghunian unit rawatan rapi (ICU) pada 49.2 peratus, di mana 13.4 peratus adalah pesakit Covid-19.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk penghunian katil serta bilangan pesakit di ICU dan ventilator.

Johor, yang akan mengadakan pilihan raya tidak lama lagi, mencatatkan jumlah kemasukan paling banyak mengikut negeri atau wilayah iaitu sebanyak 219, diikuti Selangor (208) dan Sabah (125).

Negeri lain yang mencatatkan kemasukan baharu ialah Kelantan (76), Negeri Sembilan (63), Perak (55), Kedah (28), Sarawak (27), Kuala Lumpur (25), Pulau Pinang (21), Melaka (14), Pahang (13), Perlis (12), Terengganu (9), Putrajaya (6) dan Labuan (4).

Melaka antara negeri yang paling tinggi penggunaan katil hospital termasuk kes bukan Covid dengan kadar 76.1 peratus.

Daripada 5,720 kes baharu, 1,965 atau 34.4 peratus kes dicatatkan di Lembah Klang yang merangkumi Selangor (1,563), Kuala Lumpur (358) dan Putrajaya (44).

Negeri dan wilayah lain yang merekodkan kes baharu ialah Johor (932), Kedah (486), Sabah (476), Pulau Pinang (387), Pahang (330), Melaka (301), Kelantan (258), Perak (218), Negeri Sembilan (210), Terengganu (100), Perlis (32), Sarawak (20) dan Labuan (5).

Sementara itu, daripada lapan kematian yang dilaporkan, Perak merekodkan tiga kematian, Kedah (dua), Johor, Kelantan dan Pahang (masing-masing satu).

Kadar kematian Covid-19 kini pada 0.2 peratus manakala purata dua minggu untuk kematian akibat koronavirus adalah 31 bagi setiap 10 juta orang. – 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen