Ibu bapa tidak sabar melancong selepas anak divaksin


Elill Easwaran

Para ibu bapa kini berasa selamat selepas anak mereka divaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dilancarkan hari ini, berkata mereka akan melakukan membawa anak mereka melancong dan rentas negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Februari, 2022.

IBU BAPA yang membenarkan anak mereka disuntik vaksin Covid-19 berkata mereka berbuat demikian demi keselamatan anak-anak dan mereka sendiri.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight perkara pertama yang mereka akan buat adalah melakukan perjalanan rentas negeri.

Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan program vaksinasi untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur lima hingga 12 tahun di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Ibu bapa kini boleh membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksinasi di pusat vaksinasi di seluruh negara.

Suchana Das, 33, yang membawa anaknya berusia enam tahun ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk suntikan hari ini berkata dia kini berasa lebih selamat untuk membuat perjalanan.

“Sekarang anak saya juga disuntik vaksin, saya rasa lebih selesa untuk rentas negeri.

“Memandangkan anak saya juga sudah bersekolah, kini saya tidak perlu risau sebab dia sudah divaksin,” kata Suchana.

Tambahnya keseluruhan proses untuk vaksinasi sangat lancar kerana hanya mengambil masa kira-kira sejam.

“Jika ambil masa lebih satu jam, mungkin disebabkan ada kanak-kanak yang menangis sebab takut jarum.”

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata vaksinasi untuk kanak-kanak adalah penting bagi mengelakkan mereka daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children, Long Covid dan kematian.

Beliau berkata sejak 1 Januari tahun ini, sebanyak 9,413 kes Covid-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin, katanya seperti dipetik Bernama.

Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan real world data dari negara lain seperti Singapura.

Khairy juga berkata PICKids adalah secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan ke atas kanak-kanak yang tidak divaksin.

Sedia untuk mengembara

Perunding IT Arif Zainal, 35, berkata ia adalah satu langkah yang baik oleh kerajaan untuk menyuntik vaksin kepada kanak-kanak itu.

“Saya dan isteri jarang sekali berjalan kerana anak kami yang berumur tujuh tahun tidak disuntik vaksin, tetapi sekarang kami rasa lebih selamat.

“Hari Raya juga tidak lama lagi. Sekarang anak saya sudah divaksin, jadi kami bolehlah balik kampung di Johor,” kata Arif.

Tambahnya setiap orang harus membenarkan anak mereka divaksin kerana ia akan mewujudkan rasa selamat dalam masyarakat.

“Ia tidak banyak beza jika anak saya seorang sahaja yang diberi vaksin dalam kalangan rakan sekelasnya.”

Suri rumah Susan Liew, 42, berharap vaksinasi untuk kanak-kanak dilakukan lebih awal.

“Jika vaksinasi untuk kanak-kanak dilakukan lebih awal, kami boleh pergi bercuti semasa cuti Tahun Baharu Cina.

“Kami tidak ke mana-mana sejak setahun lalu kerana anak kami yang berusia sembilan tahun tidak diberi vaksin.

“Selalu ada rasa takut dalam diri saya untuk membawa anak saya keluar memandangkan kes Covid-19 sentiasa kekal pada empat angka.

“Saya fikir ibu bapa secara amnya akan berasa lebih yakin sekarang dengan anak-anak mereka divaksin,” katanya. – 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen