Penderaan kanak-kanak di Jepun meningkat 2,170 kes pada 2021 


Polis Jepun merekodkan 80,299 kes berkaitan penderaan emosi, 19,185 penderaan fizikal, 8,270 pengabaian dan 296 penderaan seksual pada 2021.– Gambar EPA, 3 Februari, 2022.

KES penderaan kanak-kanak di Jepun mencatat rekod tertinggi dengan 2,170 kes dilaporkan pada 2021 akibat pandemik Covid-19, lapor Sputnik.

Menurut laporan agensi berita Jepun Kyodo pada Khamis, memetik kenyataan Agensi Polis Nasional (NPA), angka itu mencatatkan peningkatan 1.7 peratus berbanding 2020.

Bilangan kanak-kanak di bawah 18 tahun ditempatkan di pusat perlindungan, disyaki didera juga meningkat sebanyak 1 peratus pada 2021 dan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 108,050 kes, dengan angka melebihi 100,000 kes direkodkan buat dua tahun berturut-turut.

Polis Jepun merekodkan 80,299 kes berkaitan penderaan emosi, 19,185 penderaan fizikal, 8,270 pengabaian dan 296 penderaan seksual pada 2021.

“Pandemik Covid-19 dikhuatiri mengurangkan peluang mengawasi kanak-kanak, bagaimanapun kami akan terus memantau maklumat yang mendedahkan kes penderaan,” seorang pegawai NPA dipetik sebagai berkata.

Menurut laporan itu, peningkatan kes penderaan kanak-kanak di Jepun berpunca daripada sekatan Covid-19 yang ketat dan perintah duduk di rumah, membataskan pekerja kebajikan mengenal pasti dan mencegah kemungkinan perlakuan jenayah terhadap kanak-kanak bawah umur.– Bernama, 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen