Tiada sekatan untuk kanak-kanak tanpa vaksin Covid-19, kata Khairy


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Suafari, 3 Februari, 2022.

SEJUMLAH 26 orang maut daripada keseluruhan lebih 147,000 kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 dalam tempoh enam bulan lalu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ia melibatkan kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun yang belum divaksinasi, katanya dalam teks ucapan berhubung usaha memberi pelalian kepada golongan usia tersebut.

Beliau berkata sejak 1 Jan tahun ini, sebanyak 9,413 kes Covid-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin, katanya seperti dipetik Bernama.

Seterusnya agensi itu melaporkan beliau memberi jaminan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela.

Khairy berkata ia bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids.

“Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15% telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat.

“Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy berkata program PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu adalah penting bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesan Long Covid-19 dan kematian.

Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan real world data dari negara lain seperti Singapura.

“Sebenarnya pihak Food and Drug Aministration (FDA) (Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan) di Amerika Syarikat telah pun luluskan vaksin untuk kanak-kanak Oktober lepas, namun pakar kita ambil masa untuk buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data, didapati pemberian vaksin iaitu satu pertiga daripada dos dewasa, kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tidak menyebabkan kesan serius sebaliknya kesan biasa seperti demam.

Menyifatkan PICKids sebagai pelengkap akhir kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, beliau berkata KKM menyasarkan pemberian satu dos kepada 70% kanak-kanak di sekolah (usia tujuh hingga 11 tahun) dan 50% untuk keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

PICKids dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi dan daya tahan imuniti yang rendah di hospital yang merawat mereka.

Selain itu, 1,200 kanak-kanak juga akan menerima vakinasi melalui tempahan temu janji di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Mega di Lembah Klang iaitu World Trade Centre (WTC) dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Khairy berkata PICKids akan diteruskan ke seluruh negara menerusi klinik kesihatan dan sekolah tidak lama lagi.– 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen