BN tidak ikut acuan PRN Melaka, kata Ahmad Zahid


Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berunding dengan semua ketua Umno bahagian untuk menentukan calon. – Gambar Facebook, 2 Februari, 2022.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan mengikut sepenuhnya acuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk formula pemilihan calon untuk menghadapi PRN Johor, kata Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

“Di Melaka muka baharu (calon) adalah 87% dan berkelulusan tinggi lebih daripada 84% manakala yang berumur 50 tahun ke bawah lebih 82% tetapi acuan ini tidak akan digunakan di Johor kerana landskap politiknya berbeza,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemegang amanah dan waris lot tanah Hutan Melintang di Kompleks Umno Bagan Datuk di Sungai Sumun, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, BN yang akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menampilkan calon boleh menang, disukai dan diterima pengundi di kawasan ditandingi pada PRN Johor.

“Bagi calon daripada Umno saya meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor (Hasni Mohammad) berunding dengan semua ketua Umno bahagian untuk menentukan calon,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno.

Mengenai agihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN, Ahmad Zahid berkata Umno, MCA dan MIC mempunyai panduan mengenai perkara itu namun kerusi yang dahulunya ditandingi parti Gerakan (pada Pilihan Raya Umum ke-14) akan diambil alih semula sesama komponen BN.

PRN Johor diadakan apabila DUN dibubarkan selepas diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda menerima menghadap Hasni di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada 22 Januari lalu.

PRN itu diadakan susulan kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN. – Bernama, 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen