KUMPULAN Penasihat Malaysia mengenai Myanmar mahu junta tentera negara itu menyediakan lebih banyak akses bantuan kemanusiaan kepada orang awamnya.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan, turut menggesa Asean mengambil tindakan tegas bagi menangani krisis yang melanda rantau ini termasuk Malaysia.
Menurut kumpulan itu, tindak balas serantau dan antarabangsa, terbaik, tidak mencukupi, dengan hampir tiada kemajuan dicapai dalam pelaksanaan konsensus Lima Perkara Asean dan mekanisme lemah untuk memantau pelaksanaan.
“Konsensus Lima Perkara Asean tidak mencapai kemajuan. Kami menggesa Malaysia untuk menegaskan semula dirinya sebagai suara hati nurani di Asean dan bekerjasama dengan negara-negara dan rakan kongsi untuk tindakan segera bagi meringankan penderitaan rakyat Myanmar, “katanya.
Konsensus Lima Perkara itu diterima pakai pada 24 April tahun lepas, pada mesyuarat di Sekretariat Asean di Jakarta antara pemimpin Asean dan Jeneral Kanan Myanmar Min Aung Hlaing.
Pemimpin dalam konsensus lima perkara itu menggesa agar keganasan di Myanmar dihentikan serta-merta yang termasuk dialog membina di kalangan semua pihak berkenaan untuk mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat.
Mediasi dipermudahkan oleh utusan pengerusi Asean, dengan bantuan setiausaha agung, bantuan kemanusiaan yang disediakan oleh Pusat AHA Asean dan lawatan utusan khas serta delegasi ke Myanmar untuk bertemu semua pihak terbabit.
“Setahun selepas rampasan kuasa tentera Myanmar, krisis kemanusiaan negara itu bertambah buruk secara mendadak dan memberi kesan kepada seluruh rantau, termasuk Malaysia, berikutan kekurangan tindakan padu Asean dan seluruh dunia,” katanya.
Selepas setahun kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi pada 1 Februari 2021 digulingkan pihak tentera, lebih 7,600 pertempuran bersenjata dan serangan ke atas orang awam dengan lebih 1,400 kematian dilaporkan.
Menurut kumpulan itu, tentera telah menangkap lebih 8,500 orang manakala hampir 390,000 orang hilang tempat tinggal akibat peningkatan konflik di kawasan sempadan.
Ini adalah tambahan kepada lebih 300,000 orang yang telah dipindahkan sebelum rampasan kuasa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan tiga juta rakyat memerlukan bantuan kemanusiaan segera, tetapi akses kepada orang awam yang memerlukan dihalang keras junta. – 2 Februari, 2022.
Komen