Sabah catat kes tertinggi Covid-19 dikesan menerusi saringan bergejala


Sandakan menjadi daerah mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 141 kes dengan 93 kes dikesan menerusi saringan bergejala. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2022.

SABAH mencatatkan 251 kes Covid-19 yang dikesan melalui saringan bergejala iaitu antara tertinggi pernah direkodkan daripada jumlah keseluruhan jangkitan baharu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Beliau berkata, jumlah itu adalah 51.22% daripada 490 kes baharu yang direkodkan di negeri itu hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, Sandakan menjadi daerah mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 141 kes dengan 93 kes dikesan menerusi saringan bergejala.

“Ini (kes tinggi saringan bergejala) menandakan jangkitan ini sudah menyusup jauh dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah terus merekodkan tambahan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Apas Batu Lima di Tawau, membabitkan 12 kes kumulatif setakat ini.

Beliau berkata, bagi Kluster Jalan Apas, kes indeks adalah seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 26 Januari, dengan semua kontak rapat tidak bergejala diperintah menjalani kuarantin.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah kes yang direkodkan hari ini menunjukkan peningkatan tinggi berbanding 367 kes dicatat semalam, manakala 252 pesakit sembuh dan 825 pesakit masih dirawat. – Bernama, 1 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen