Kumpulan sivil kecam tindakan kejam mengecat burung merpati


Aminah Farid

Burung merpati yang dicat bulunya mencetus bahaya terhadap kesihatan haiwan itu. – Gambar Facebook, 2 Februari, 2022.

KUMPULAN pelindung haiwan dan pertubuhan bukan kerajaan bimbang dengan kadar penderaan haiwan di Malaysia selepas video seorang lelaki di Kampung Kepulau di Kelantan tular kerana menyembur cat di bulu burung merpatinya untuk meningkatkan jualan.

Boey Suet Yee dari Persatuan Lestari Malaysia berkata, persoalan perlu dibangkitkan sama ada pihak berkuasa efektif dalam membendung penganiayaan terhadap haiwan.

“Akta Kebajikan Haiwan 2015 mempunyai peruntukan bahawa kelakuan kejam terhadap haiwan boleh didenda atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali. Di sebalik peruntukan undang-undang ini, penderaan haiwan terus berlaku,” katanya.

“Lebih banyak usaha diperlukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi membendung kezaliman terhadap haiwan. Kami menggesa pihak berkuasa khususnya polis mengambil serius perkara ini dan bertindak sewajarnya,” katanya.

Boey berkata, semburan cat mungkin toksik kepada haiwan dan meningkatkan jualan melalui tindakan kejam itu terhadap haiwan tidak boleh diterima.

Beliau berkata, kes penderaan haiwan semakin berleluasa di negara ini dan menyentuh laporan tahun lalu yang mana seekor anjing disembur dicat menyerupai seekor harimau.

“Kekejaman itu menimbulkan kemarahan orang ramai, terutamanya daripada aktivis hak haiwan,” katanya.

Boey berkata, menurut pengarah unit penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Zaharinan Abd Aziz, terdapat 276 aduan mengenai kekejaman dan kecuaian haiwan diterima sejak Januari hingga September 2021.

Asther Lau dari Damansara Perdana Strays Rescue turut membangkitkan kebimbangan penderaan haiwan menjadi satu kebiasaan di Malaysia.

Seperti Boey, katanya, penderaan dan eksploitasi terhadap haiwan menjadi isu biasa di negara ini.

Beliau berkata, ia berikutan kurangnya penguatkuasaan undang-undang perlindungan haiwan. Walaupun dengan undang-undang sedia ada, masih sukar bagi pesalah untuk didakwa kerana undang-undang itu berkaitan antara satu sama lain dan mempunyai banyak kelemahan.

Insiden burung merpati yang dicat juga mendapat kecaman dalam talian.

Seorang doktor haiwan, Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali meluahkan kebimbangannya di media sosial bahawa kaedah yang digunakan untuk mencipta haiwan peliharaan baharu bahaya kepada burung itu.

“Tahukah anda? Mana-mana bau yang kuat, dalam kes ini, bau cat semburan benar-benar kuat dan berbahaya kepada burung!” katanya.

“Kita mungkin tidak mengetahui kerosakan yang berlaku (kepada burung) secara dalaman. Mungkin mereka tidak mati serta-merta, tetapi bagaimana pula dengan kerosakan dalaman yang berlaku?” tulis Salehatul dalam catatannya.

Beliau berkata, trend itu tidak popular jika tidak ada permintaan daripada pelanggan yang mahukan haiwan peliharaan seperti itu. – 2 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen