Malaysia catat kes baharu Covid-19 tertinggi tahun ini


Ravin Palanisamy

Sebanyak 5,566 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadi angka tertinggi yang dicatatkan tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2022.

MALAYSIA melaporkan jangkitan baharu Covid-19 tertinggi bagi tahun ini dengan 5,566 kes setakat hari ini.

Jumlah tertinggi untuk tahun ini ialah 5,522 kes yang dilaporkan pada 28 Januari.

Sejak dua hari lalu jumlah jangkitan harian jatuh di bawah paras 5,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif sejak permulaan wabak iaitu sebanyak 2.87 juta kes.

Pecahan kes mengikut negeri akan dikemas kini di portal CovidNow selepas tengah malam.

Setakat semalam seramai 22,925,149 individu atau 97.9% daripada populasi dewasa di negara ini selesai mendapatkan vaksinasi manakala 99.1% atau 23,202,052 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
 
Bagi remaja berusia antara 12 dan 17 tahun seramai 2,788,610 individu atau 88.6% daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi manakala 2,867,859 individu atau 91.1% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 1 Februari, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen