Perikatan muktamad senarai calon PRN Johor minggu depan, kata Muhyiddin


Presiden Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan memutuskan senarai calon bagi PRN Johor minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) akan memutuskan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu depan, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan bersama PAS dan Gerakan.

“Senarai calon dah ada, tapi kita belum putuskan siapa yang nak dipilih. Dalam masa seminggu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi tahun Baharu Cina anjuran Gerakan hari ini. 

Turut hadir Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Pengerusi PN Mohd Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan Ketua Wanita PN Rina Mohd Harun. 

Muhyiddin sebelum ini berkata PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor. 

Ketika ditanya siapakah calon yang akan mengambil alih tempatnya di DUN Gambir selepas beliau tidak berhasrat mempertahankan kerusi itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu berkata: “Tunggu sahaja, Johor ramai calon yang berkelayakan kadang-kadang susah nak pilih sebab ramai yang layak.” 

Sementara itu Lau berkata Gerakan menyerahkan kepada pucuk pimpinan PN mengenai kerusi yang akan diagihkan kepada parti itu pada PRN Johor. 

Beliau mengakui parti itu memang berminat untuk bertanding di beberapa kawasan DUN dan menyerahkan senarai calon-calonnya kepada pucuk pimpinan PN, namun beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Januari lepas, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh PRN. – Bernama, 1 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen