JUMLAH kes aktif Covid-19 terus meningkat apabila Malaysia merekodkan 4,774 jangkitan baharu berbanding 3,232 kes pulih semalam, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini merupakan hari ke-14 berturut-turut kes harian melebihi jumlah kes pulih menyebabkan kes aktif meningkat kepada 54,777.
Menurut KKM kebanyakan kes aktif adalah dalam kategori kurang teruk dengan majoriti yang dijangkiti kini dikuarantin di rumah.
Daripada jumlah kes aktif 46,643 pesakit dikuarantin di rumah, 4,365 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 3,655 di hospital.
Semalam 864 pesakit koronavirus dimasukkan ke hospital manakala negara juga mencatatkan 13 kematian baharu akibat jangkitan berkenaan.
Kadar penggunaan hospital meningkat kepada 62.3% semalam daripada 59.2% sehari sebelumnya dan kes koronavirus menyumbang 37.6% daripada kadar pengambilan.
Penggunaan alat ventilator adalah pada 32.4% manakala penghunian unit rawatan rapi (ICU) adalah pada 51.1% di mana 13.4% adalah pesakit Covid-19.
Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk penghunian katil dan bilangan pesakit di ICU serta penggunaan alat ventilator.
Selangor mencatatkan bilangan kemasukan terbanyak semalam iaitu sebanyak 224, diikuti oleh Johor (200) dan Sabah (100).
Negeri lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Kelantan (61), Sarawak (49), Kuala Lumpur (44), Perak (39), Negeri Sembilan (38), Kedah (33), Melaka (24), Pulau Pinang (16), Pahang (15), Terengganu (10), Perlis (6) dan Putrajaya (5).
Tiada kemasukan baharu yang dikaitkan dengan virus itu di Labuan.
Melaka mencatatkan kadar penggunaan katil hospital tertinggi termasuk kes bukan Covid-19 iaitu 75.1%.
Daripada 4,774 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam 99.2% daripadanya adalah dalam kategori asimtomatik dan gejala sederhana manakala 0.8% berada dalam kategori lebih teruk iaitu 3, 4 dan 5.
Sebanyak 1,576 atau 33% daripada kes baharu adalah dari Lembah Klang. Selangor mencatatkan 1,166, Kuala Lumpur (379) dan Putrajaya (31).
Negeri lain yang mencatatkan kes baharu ialah Johor (796), Kedah (505), Sabah (367), Kelantan (341), Pulau Pinang (304), Negeri Sembilan (254), Pahang (202), Melaka (167), Perak (158), Terengganu (78), Sarawak (14), Perlis (11) dan Labuan (1).
Sementara itu daripada 13 kematian baharu empat kes meninggal dunia di luar hospital. Semua kematian adalah kes tertunggak.
Tiga kematian dilaporkan di Johor dan Kelantan, dua di Sabah dan satu masing-masing di Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga kematian di Kelantan adalah kes di luar hospital manakala satu lagi di Sabah.
Angka kematian negara yang dikaitkan dengan virus itu kini berjumlah 31,978.
Kadar kematian virus tempatan adalah pada 0.3% manakala purata dua minggu untuk kematian virus adalah 37 bagi setiap 10 juta orang. – 1 Februari, 2022.
Komen