ORANG ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes harian Covid-19 baru-baru ini kerana ia tidak bermakna negara sedang berdepan krisis baharu, kata pakar kesihatan.
Mereka berkata dengan kejayaan vaksinasi Covid-19 di negara ini majoriti kes baharu yang dilaporkan adalah di bawah kategori kurang teruk.
Ketua Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen Azril Mohd Khalib berkata tumpuan harus diberikan terhadap kemasukan ke hospital, tahap keparahan kes koronavirus dan juga kematian berbanding kes harian.
Beliau berkata negara juga sudah bersedia untuk berdepan sebarang lonjakan mendadak kes Covid-19 berdasarkan pengalaman yang diperoleh sejak dua tahun lalu.
“Saya tidak fikir ada sebab sebenar untuk membimbangkan (berkenaan peningkatan jangkitan baharu).
“Pada asasnya bagi Kementerian Kesihatan angka yang mereka fokuskan ialah kemasukan ke hospital, penyakit serius dan kematian. Saya fikir itu adalah kebimbangan utama kami.
“Jadi secara amnya saya rasa Malaysia sangat bersedia (jika ada lonjakan mendadak),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Azrul menegaskan orang ramai perlu mendapatkan vaksinasi utama dan penggalak dengan menambah ia akan membantu mengelak kes ke peringkat yang teruk.
“Jadi apabila mereka dijangkiti ia mungkin berada dalam Kategori 1 atau 2 dengan gejala ringan atau tiada simptom,” katanya.
Malaysia melaporkan kes harian antara 4,000 dan 5,000 pada minggu lalu.
Negara ini juga merekodkan lebih banyak jangkitan berbanding kes pulih selama 13 hari lalu mengakibatkan kes koronavirus aktif mencecah paras 50,000 kes. Kes aktif pada masa ini ialah 53,248 di mana majoritinya berada dalam kategori asimtomatik yang kurang teruk dan bergejala ringan.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pembukaan semula sektor ekonomi dijangka meningkatkan jumlah kes harian.
Pada masa ini katanya dengan vaksinasi kemasukan ke hospital dan kadar kematian adalah rendah dan berharap ia tidak meningkat dengan kemunculan kes baharu.
“Pembukaan semula sektor ekonomi dan lain-lain menyumbang kepada peningkatan kes. Ia adalah sifat virus tetapi kebanyakan kes masih dalam kategori ringan.
“Daripada pengalaman melihat negara lain, (apabila) penduduk divaksin walaupun jumlah kes meningkat kemasukan ke hospital dan kematian diharap tidak meningkat,” katanya.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh berkata tidak perlu panik dengan peningkatan kes harian.
Beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Tanpa panik, ikuti SOP seperti penjarakan fizikal, topeng, lebih baik topeng muka dua kali ganda, sanitasi dan elakkan tempat yang sesak.
“Ini adalah peraturan asas mudah yang harus dipatuhi tanpa panik.
“Kita boleh meneruskan aktiviti harian biasa tetapi tanpa pergi ke tahap dengan mengandikan tiada lagi Covid-19,” katanya. – 1 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen