Adakah siasatan SPRM terhadap Maszlee bermotif politik, soal PKR Johor


Ravin Palanisamy

TImbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah berkata rakyat tertanya-tanya kenapa siasatan SPRM terhadap Maszlee Malik (gambar) tidak dibuat sebelum ada pilihan raya negeri Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2022.

SIASATAN agensi antirasuah terhadap Maszlee Malik menimbulkan persoalan adakah ianya bermotifkan politik, kata pemimpin PKR Johor.

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah berkata ramai yang tertanya-tanya sama ada siasatan itu ada kena mengena dengan pilihan raya negeri (PRN) akan datang di mana Maszlee bakal memainkan peranan penting bagi PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Puah berkata tindakan mengejut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan seolah-olah ada campur tangan politik yang bertujuan untuk menggagalkan persiapan PKR dan Maszlee menjelang pilihan raya.

“Rakyat mempersoalkan mengapa kes ini tidak timbul dahulu?

“Mengapa siasatan SPRM tiba-tiba muncul ditengah-tengah bahang pilihan raya negeri Johor akan diadakan tidak lama lagi dan kebetulan nama Maszlee Malik juga disebut-sebut kemungkinan sebagai calon PH untuk menteri besar Johor? 

“Seolah-seolah terdapat campur tangan politik yang ingin mengacau fokus PKR Johor dan melakukan intimidasi politik ke atas Maszlee,” kata Puah dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam SPRM mengumumkan ia sedang menyiasat dua laporan terhadap bekas menteri pendidikan itu.

Dilaporkan Maszlee sedang disiasat atas dakwaan rasuah semasa menjadi menteri pendidikan.

Hari ini, ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata siasatan rasuah terhadapnya adalah percubaan untuk memburukkan namanya menjelang PRN Johor.

Maszlee yang kini ahli PKR berkata beliau tiada apa-apa yang hendak disembunyikan dan mengalu-alukan siasatan SPRM terhadapnya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Puah turut memuji reaksi Maszlee yang mengalu-alukan siasatan SPRM itu, berkata beliau yakin siasatan ini sama sekali tidak akan melunturkan semangat PKR Johor menghadapi PRN. – 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen