SEORANG menteri Kabinet Hong Kong meletak jawatan hari ini kerana menghadiri majlis hari jadi bersama berpuluh-puluh pegawai dan ahli Parlimen hanya beberapa hari selepas kerajaan bandar itu menyeru orang ramai mengelak perhimpunan besar-besaran bagi memerangi wabak koronavirus.
“Hari ini saya mengemukakan peletakan jawatan kepada Keteua Eksekutif dan akan berundur daripada jawatan saya hari ini.
“Sebagai salah seorang pegawai kanan yang menerajui perang melawan pandemik saya tidak memberikan contoh terbaik,” kata Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Caspar Tsui dalam satu kenyataan.
Peletakan jawatan Tsui adalah satu tamparan kepada pentadbiran Ketua Eksekutif Carrie Lam yang semasa memegang jawatannya berdepan demonstrasi prodemokrasi besar-besaran dan operasi membanteras penentang yang menggemparkan Hong Kong.
Sambutan hari jadi 3 Januari di restoran tapas adalah bagi meraikan ahli Parlimen Witman Hung. Ia memalukan Lam ketika pentadbirannya melaksanakan dasar sifar Covid-19 sama seperti Beijing.
Senarai tetamu itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa kesihatan mengesan mereka yang dijangkiti selepas menghadiri parti berkenaan.
Antara lebih 200 tetamu yang hadir termasuk lebih 12 pegawai kanan termasuk polis Hong Kong, jabatan antirasuah dan imigresen selain 20 wakil rakyat.
Walaupun parti itu tidak menyalahi undang-undang Hong Kong ketika itu ketua jabatan kesihatan memberi amaran supaya orang ramai mengelak daripada berkumpul tiga hari sebelumnya.
Lam berkata pegawai gagal menunjukkan contoh dan mengarahkan siasatan dibuat.
Hong Kong melaksanakan beberapa peraturan Covid-19 yang paling ketat di dunia termasuk kuarantin mandatori yang lama untuk semua ketibaan, sekatan ke atas perhimpunan awam dan wajib memakai topeng muka di tempat awam selain ketika makan. – AFP, 31 Januari, 2022.
Komen