Pakatan ancam ambil tindakan undang-undang jika tidak didaftar sebelum PRU14 


Bede Hong

Ketua biro undang-undang PH Gobind Singh Deo berkata, semua syarat yang ditentukan okeh Pendaftar Pertubuhan sudah dipenuhi, namun pihak berkenaan masih belum mengambil sebarang tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2018. 

PAKATAN Harapan akan mengheret Pendaftar Pertubuhan (RoS) ke mahkamah sekiranya pakatan pembangkang itu tidak didaftarkan pada masanya sebelum menghadapi pilihan raya umum ke 14 yang mesti diadakan sebelum Ogos. 

Ketua biro undang-undang PH Gobind Singh Deo berkata, RoS sudah menghantar surat yang mengatakan pemilihan semula jawatankuasa pusat parti komponen itu pada 12 November lalu memenuhi syarat yang dikehendaki. 

Tambahnya, tiada alasan lagi untuk menangguhkan pendaftaran PH memandangkan Bersatu sudah mengadakan mesyuarat agung tahunnanya di Johor pada 30 November. 

PH terdiri daripada DAP, Bersatu, PKR dan Amanah. 

Gobind berkata semua syarat yang ditetapkan oleh RoS pada pertemuan dengan pemimpin pembangkang dan pendaftar itu pada 20 November lalu sudah dipenuhi, namun pihak berkenaan masih belum memberi maklum balas berhubung surat atau permintaan untuk perkembangan mengenainya. 

“Perkara ini adalah serius dan memerlukan perhatian segera pihak RoS,” kata Gobind kepada pemberita di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini. 

“Sudah pasti, sekiranya RoS gagal memberikan sebarang maklum balas kepada kami, kami tiada pilihan untuk mengambil tindakan lanjut, yang termasuk tindakan undang-undang.”

“Ini adalah sesuatu yang telah dibincangkan dalam pertemuan kami dan sudah tentu saya akan menerima arahan daripada jawatankuasa PH sekali lagi dan kita mungkin akan selesaikannya dengan memfailkan saman di mahkamah,” katanya. 

Bersatu dan DAP dikatakan menjadi penghalang utama untuk pendaftaran PH sebagai sebuah pakatan yang sah. PH menghantar permohonan pendaftaran pada 24 Julai tahun lalu.

Gobind yang juga timbalan pengerusi DAP berkata, RoS tidak memberi sebarang maklum balas berhubung pendaftaran PH yang perlu diselesaikan sebelum pilihan raya umum diadakan. 

“Apa yang diperlukan oleh Bersatu dan DAP sudah dipenuhi dan kini hanya menunggu RoS untuk berikan maklum balas,” katanya merujuk kepada surat yang diterima setiausaha agung DAP Lim Guan Eng semalam. 

Dalam surat berkenaan, RoS berkata pihaknya “bersetuju” dengan laporan penuh pemilihan semula disimpan oleh firma, Grant Thornton bagi suatu tempoh sebagaimana yang diperlukan oleh perlembagaan parti. 

Firma audit antarabangsa Grant Thornton, yang dilantik DAP, telah menghantar laporan penuh pemilihan semula jawatankuasa pusat menerusi surat bertarikh 27 November tahun lalu. 

Gobind berkata, tiada lagi sebarang komunikasi daripada RoS selepas itu. 

“Soalan saya kepada RoS adalah mengapa pendaftaran Pakatan masih belum diselesaikan? Kami hampir berdepan pilihan raya, jadi kami memerlukan jawapan segera.

“Kita tidak boleh lagi menunggu RoS untuk buat keputusan. Kami tiada pilihan lain selain membawa perkara ini ke mahkamah agar keputusan dapat dibuat,” katanya yang juga ahli Parlimen Puchong. 

“RoS perlu lebih profesional. Apabila surat ditulis, sepatutnya ada maklum balas dalam hitam dan putih dengan dinyatakan sebab,” kata Gobind, dan menambah pimpinan PH akan terus meminta untuk mengadakan pertemuan. 

Ditanya apa yang akan berlaku sekiranya pendaftar itu tidak meluluskan pendaftaran PH apabila pilihan raya diadakan, Gobind menjawab: “Kami akan selesaikan perkara itu kemudian. Kita ambil langkah demi langkah.”

“Sudah pasti kita ada rancangan sokongan, sebagaimana yang dinyatakan pengerusi kami (Dr Mahathir Mohamad) pada sidang media sebelum ini. Kita tidak akan dedahkan butirannya sekarang.”

Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini mendakwa RoS mempunyai kaitan dengan kerajaan memerintah berhubung penangguhan itu. – 6 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pakatan sengaja membuat provokasi dengan menyalahkan ROS.Kita sudah ketahui undang-undang di negara ini telus dan adil tetpai mereka kini meyalahkan ketidakadilan dan melihat perkara dari sudut negatif.hal ini menjadikan mereka semakin liar menyalahkan perlembagaan negara ini.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan