Kes Covid-19 melonjak kebanyakannya bergejala ringan


Ravin Palanisamy

Ia merupakan hari ke-13 berturut-turut kes baharu melebihi jumlah kes pulih.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2022.

JUMLAH kes aktif Covid-19 meningkat kepada 53,248 semalam selepas Malaysia melaporkan lebih banyak jangkitan baharu berbanding kes pulih, kata Kementerian Kesihatan.

Malaysia mencatatkan 4,915 kes baharu berbanding 3,056 kes pulih.

Ia merupakan hari ke-13 berturut-turut kes baharu melebihi jumlah kes pulih.

Walaupun jangkitan aktif terus meningkat, kebanyakan kes adalah dalam kategori yang lebih ringan.

Daripada jumlah kes aktif, 45,883 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 4,247 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 2,998 di hospital.

Semalam, Malaysia menyaksikan 901 orang dimasukkan ke hospital akibat virus berkenaan dan lapan kematian.

Kadar penggunaan katil hospital adalah pada 59.2% yang mana 30.7% adalah kes Covid-19. 

Penggunaan alat bantuan pernafasan adalah pada 32.6% manakala kemasukan ke unit rawatan rapi adalah pada 52.7%, yang mana 14.1% adalah pesakit Covid.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan katil hospital termasuk penghunian katil serta bilangan pesakit di ICU dan yang menggunakan ventilator.

Selangor mencatatkan kemasukan ke hospital paling ramai iaitu 207, diikuti Johor (198) dan Sabah (107).

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan pesakit hospital baharu ialah Sarawak (72), Kelantan (59), Negeri Sembilan (56), Kuala Lumpur (48), Kedah (32), Perak (28), Pahang (24), Pulau Pinang (20), Melaka (19), Perlis (13), Putrajaya (11) dan Terengganu (7).

Hanya Labuan yang tidak melaporkan pesakit baru di wad.

Melaka mencatatkan kadar penggunaan katil hospital tertinggi, termasuk kes bukan Covid, iaitu 75.6%.

Daripada 4,915 kes baharu yang dilaporkan semalam, 99.2% daripadanya adalah dalam kategori tidak bergejala dan bergejala ringan manakala 0.8% dalam kategori lebih teruk iaitu 3, 4 dan 5.

Sebanyak 1,707 atau 34.7% daripada kes baharu adalah dari Lembah Klang. Selangor merekodkan 1,269 kes, Kuala Lumpur (409) dan Putrajaya (29).

Negeri dan wilayah lain yang turut merekodkan kes baharu adalah Johor (763), Kedah (420), Melaka (396), Sabah (373), Pulau Pinang (326), Kelantan (279), Negeri Sembilan (204), Pahang (204), Perak (130), Terengganu (67), Perlis (28) dan Sarawak (18).

Labuan sekali lagi tidak melaporkan kes baharu.

Antara lapan kematian baharu itu, seorang diklasifikasikan kes kematian luar hospital, di Terengganu.

Semua kematian adalah kes tertunggak.

Tiga daripada kematian berlaku di Perak, dua di Johor, dan masing-masing satu di Melaka, Pahang dan Terengganu.

Jumlah kematian Covid-19 mencecah 31,965.

Kadar kematian adalah pada 0.3% manakala purata dua minggu adalah 37 bagi setiap 10 juta orang. – 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen