Jangan ambil kesempatan atas 'kebaikan' DBKL, kata Ku Nan 


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada penyewa unit flat kos rendah agar tidak menyewakan unit mereka kepada penyewa lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2018. 

PENYEWA unit perumahan kos rendah diminta agar tidak mengambil kesempatan ke atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menyewakan unit kediaman mereka, kata Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Menteri wilayah persekutuan itu berkata, penyewa cenderung untuk mengambil kesempatan kerana pihak berkuasa tempatan itu terlalu “berlembut”.

“Terdapat 40,000 orang yang memohon unit perumahan kos rendah, 

“Kita mahu berikan kepada mereka yang layak untuknya.

“Itu sebabnya kita merayu kepada mereka yang berpindah dan sekiranya mereka berkemampuan (untuk tinggal di tempat lain), kembalikan semula unit itu,” katanya selepas melancarkan Perumahan Perkhidmatan Awam 1Malaysia (PPA1M) di Bukit Jalil hari ini. 

Tengku Adnan berkata demikian mengulas mengenai kadar kos sewa yang tinggi di Lembah Klang yang menyebabkan rakyat Malaysia mencari bilik sewa dan flat skim perumahan kos rendah. 

Peraturan DBKL melarang penyewa asal daripada menyewakan unit mereka tetapi kebanyakan penyewa berbuat demikian walaupun berdepan dengan tindakan dikeluarkan daripada unit berkenaan kerana penyewa pihak ketiga sanggup membayar lebih daripada dua kali ganda daripada sewaan asal iaitu RM124 sebulan. 

Sewa atas sewa flat kos rendah - yang bukan lagi perkara asing di projek perumahan rakyat (PPR) - dilakukan berikutan permintaan yang disebabkan oleh kos sewa yang tinggi di Lembah Klang yang mana ia mustahil untuk mendapat sewa kurang daripada RM500 sebulan, menurut mereka yang ditemu bual The Malaysian Insight hari ini.

Tengku Adnan turut menggesa agar penyewa tidak menyimpan (unit kediaman) kerana mahu mendapatkan pendapatan lebih.

“Mereka ini (yang tinggal di PPR) adalah dalam kategori berhutang. Jadi daam masa beberapa tahun apabila pendapatan mereka sudah stabil, mereka mampu untuk membeli rumah sendiri dan mereka sepatutnya keluar daripada unit ini. 

“Unit ini hanya untuk sementara sahaja. Apabila mereka dapat menjana pendapatan lebih baik, mereka perlu keluar.”

Tengku Adnan berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan juga sedang meneliti konsep baharu.

“Mereka hanya boleh sewa rumah ini untuk lima tahun sahaja. Selepas lima tahun mereka mampu untuk membeli rumah sendiri. 

“Kita sudah pun ada Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan projek lain yang mereka boleh beli. 

“Kadangkala mereka mengambil kesempatan kerana kita terlalu baik.”

Tengku Adnan berkata, DBKL juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan. 

“Kita ada unit khas untuk menyelesaikan masalah ini. 

“Mereka bukan sahaja akan berjalan pada waktu siang sahaja, tetapi juga pada waktu malam untuk mengenal pasti penyewa yang menyewakan unit mereka. 

“Sekiranya kita dapat tahu mereka menyewakan unit mereka, kita akan batalkan perjanjian sewa dan sita unit itu.”– 6 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen