JUMLAH kes baharu harian Covid-19 dalam negara menurun kepada 4,915 kes hari ini, selepas mencatatkan angka melepasi 5,000 bagi tiga hari berturut-turut, menjadikan jumlah kumulatif 2,865,984 kes setakat jam 12 tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu, 39 kes adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala bakinya kategori 1 dan 2.
“Daripada 4,915 kes itu, sebanyak 188 adalah kes import dan 4,727 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 120 kes dan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 3,056 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini 2,780,771 orang.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 14 kluster baharu direkodkan dengan 301 kluster masih aktif setakat ini.
Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata, Rt negara berada pada paras 1.14 dengan Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.20 setakat semalam.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Bernama, 30 Januari, 2022.

Komen